KEWUJUDAN komuniti urban farming di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dilihat dapat memupuk dan mengalakkan budaya pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail idea untuk mewujudkan komuniti urban farming itu telah lama diusulkan.
“Dengan kewujudan urban farming khususnya di PPR Desa Tun Razak ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan bekalan sayur-sayuran dengan harga rendah.
“Sekiranya tiada tanah kita boleh buat penanaman di dalam polibeg.
“Namun untuk projek seperti ini kita memerlukan seorang individu yang betul-betul bertanggungjawab untuk program tersebut kerana kita tidak mahu hanya hangat-hangat tahi ayam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Community Feeding (PCF) yang diadakan di PPR Desa Tun Razak, hari ini.
Azizah berkata pada tahun 2018, UNICEF telah menjalankan satu kajian di kawasan pinggiran bandar di Kuala Lumpur.
“Laporan menunjukkan 22% kanak-kanak di bawah lima tahun mengalami masalah bantut dan 15% kanak-kanak mengalami masalah kekurangan berat badan. Malah, sejumlah besar iaitu 97% isi rumah di penempatan ini menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyediakan hidangan yang sihat kepada anak-anak kerana mereka tidak mampu membeli barang makanan, ekoran harga makanan yang tinggi.
“PPR Desa Tun Razak telah dipilih sebagai lokasi bagi pelaksanaan Program PCF kerana ia merupakan salah satu pusat kajian oleh pihak UNICEF pada tahun 2018.
“Terima kasih kepada Cawangan Pemakanan, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana telah mengambil serius saranan saya semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu, di mana saya mengatakan bahawa di Malaysia tidak sepatutnya ada kanak-kanak yang terbantut dan memohon agar penekanan diberi terhadap tabiat pemakanan dan kesihatan anak-anak,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Azizah berharap program seperti ini akan diperluaskan di kawasan-kawasan komuniti yang lain.
“Dengan pelaksanaan program ini, dapatlah membantu kanak-kanak mendapat makanan yang seimbang dan berkhasiat,” ujarnya kanak-kanak merupakan modal insan yang penting kepada negara. – WILAYAHKU