Berita

Upacara naikkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan

- Diterbit 3 Februari 2025 1:00 PM MYT

UPACARA menaikkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka yang dilakukan setiap bulan akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata cadangan tersebut dilontarkan beliau berikutan ia berpotensi untuk menarik perhatian pelancong asing untuk melihat upacara ini.

“Sebenarnya ia adalah upacara setiap bulan untuk menukar Jalur Gemilang, namun saya telah berbincang dengan pegawai memandangkan ia dapat menarik pelancong tempatan dan asing untuk menyaksikan upacara ini.

“Tarikan dalam upaca ini adalah persembahan pasukan pancaragam serta unit berkuda DBKL yang menonjolkan keunikan upacara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Upacara Mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka pada Isnin.

Maimunah berkata upacara yang diadakan pada minggu pertama setiap bulan itu akan dilihat dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kota.

“Ia juga mempunyai nilai sejarah kerana dilakukan di Dataran Merdeka yang bersejarah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas