Berita

UNITEN perkenal kursus relevan

PELAJAR dilatih untuk melibatkan diri dengan masyarakat setempat
- Diterbit 19 Januari 2024 9:50 AM MYT

UNIVERSITI Tenaga Nasional (UNITEN) memperkenalkan dua kursus diploma baharu iaitu Diploma Teknologi Kewangan (Diploma in Financial Technology) dan Diploma Perniagaan Digital (Diploma in Digital Business) di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS).

Dalam satu kenyataan, UNITEN turut memaklumkan pihaknya juga sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan lebih banyak program yang relevan dengan industri serta memulakan program pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di KSHAS.

“Pihak pengurusan KSHAS sedang berbincang dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menjadikan UNITEN KSHAS sebagai pusat yang diiktiraf (Accredited Centre) yang menawarkan pelbagai pengiktirafan TVET. “Langkah ini diharapkan akan menambah kakitangan, meningkatkan bilangan pelajar dan memberi sumbangan kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat dengan sasaran jumlah pelajar keseluruhan antara 1,500 hingga 2,000 orang,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, UNITEN turut berkongsi beberapa pencapaian cemerlang yang diperoleh KSHAS pada tahun lalu menerusi Mohamad Luqman Al-Hafiz yang merangkul Pembahas Terbaik Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2003 dan Geran Youngpreneur @ YTC UCYP oleh empat pelajar dalam bidang keusahawanan sekali gus memperkukuh pengiktirafan UNITEN sebagai pemangkin pembangunan usahawan muda.

Selain itu, KSHAS turut aktif dalam pelbagai program sukarela khususnya kepada masyarakat Pahang dengan membantu mangsa banjir dan menganjurkan Majlis Penyampaian Komputer Riba Pahang Pride Orang Asli serta pemberian Insentif Perkahwinan Pertama kepada Orang Asli. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas