SERAMAI 65 peserta terpilih dilatih untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat demi menghargai kepentingan air dan alam sekitar menerusi Program Water Awareness Camp for Future Leaders 2023 (WACFFL 2023).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNITEN, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Mat Isa, ia merupakan program kali ketiga yang dianjurkan oleh pihaknya dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS) dan UNESCO-IHP Malaysia.
“Program seperti ini adalah bertujuan untuk mendidik peserta agar menjadi agen perubahan dalam masyarakat demi menghargai kepentingan air dan alam sekitar.
“Para peserta terdiri daripada 33 orang pelajar UNITEN dan 32 pelajar UIS daripada pelbagai latar belakang, berpeluang menyelesaikan enam modul yang merangkumi aspek kualiti air, pengurusan sumber air, pemantauan sungai, penuaian air hujan, biodiversiti sungai dan tenaga boleh diperbaharui daripada air,” ujarnya setiap modul program melibatkan pelbagai kaedah interaktif dan pembentangan berkumpulan.
Tambahnya, program yang berlangsung di Semenyih Eco-Venture Resort and Recreation, Selangor itu adalah contoh sebuah kerjasama komprehensif antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi kerajaan dalam memastikan kesedaran air terus dipromosikan dalam kalangan generasi muda.
“Saya gembira melihat pelajar universiti diberi tanggungjawab sejak awal untuk melestari sumber air. Program seperti WACFFL 2023 adalah langkah positif untuk membentuk pemimpin masa depan yang peka terhadap isu-isu alam sekitar,” katanya.
Abdul Aziz berkata program ini membantu peserta menerapkan nilai-nilai murni melalui kaedah pembelajaran luar kelas yang interaktif.
“Diharapkan program seperti ini akan terus memberi kesan positif dan menjadi inspirasi untuk usaha-usaha mendidik kesedaran air dalam kalangan generasi muda,” katanya. – WILAYAHKU