GEMPAK Most Wanted Awards (GMWA) 2024 yang bakal berlangsung pada 23 Februari 2025 di Auditorium MBSA, Shah Alam, mencatat sejarah apabila undian pertama yang berlangsung dari 28 November hingga 28 Disember merekodkan pencapaian luar biasa sebanyak 9.5 juta undian.
Menurut Ketua Content Studio, Astro, Syazwan Zakariah, angka berkenaan lapan kali lebih tingga berbanding edisi sebelumnya yang hanya meraih 1.3 juta undian.
“Peningkatan undian yang luar biasa tahun ini mencerminkan sokongan serta minat mendalam rakyat Malaysia terhadap GMWA.
“Rekod ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan GMWA sebagai platform utama meraikan bakat dan personaliti digital, tetapi menjadi inspirasi untuk membawa edisi 2024 ke tahap yang lebih gemilang,” katanya pada majlis sidang media pengumuman calon Top 5, di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.
Bertemakan ‘Flex You Art’, Syazwan menambah calon dan penonton pada malam itu dialu-alukan untuk berintrepetasi dengan fesyen mengikuti kreativiti masing-masing.
“Mereka bebas mengayakan apa saja bersesuaian dengan tema kami ‘art’ (seni), asalkan sedap mata memandang dan cantik, bergantung kepada kreativiti dan interpretasi masing-masing.
“Kami ingin melihat apakah definisi dan bagaimana tetamu malam itu berekspresi pada seni, mungkin ada yang ingin memakai arca atau tampil seperti imej di Met Gala, itu semua terpulang kepada masing-masing,” katanya.
GMWA mempertandingkan sebanyak 11 kategori termasuk Selebriti Tergempak, Program Digital Tergempak, Digital Creator (Lifestyle) Tergempak, Digital Creator
(Foodie) Tergempak dan Digital Creator (Motivation & Education) Tergempak.
Edisi tahun 2024 turut memperkenalkan anugerah khas Keluang Man of the Year yang mengiktiraf individu yang memberi impak positif dalam komuniti, juga anugerah utama Gempak Most Wanted 2024 untuk calon individu yang mendapat undian tertinggi secara keseluruhan.
Penyanyi Aina Abdul mendominasi senarai Top 5 GMWA 2024 menerusi tiga kategori iaitu Lagu/Audio Tergempak (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu, bersama Fabio Asher), Program Digital Tergempak (Confession Bilik Gelap), dan juga menerusi lagunya Puas Sudah dalam Video Muzik Tergempak.
Acara ini bakal menampilkan Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry Alhadad sebagai pengacara.-WILAYAHKU