Berita

Undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi telah berusia lebih 20 tahun

Foto: Youtube Parlimen Malaysia
- Diterbit 16 Disember 2024 6:58 PM MYT

UNDANG-UNDANG sedia ada yang berkaitan dengan aspek telekomunikasi iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588 telah digubal lebih daripada 20 tahun lalu.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 di Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, ketika Akta 588 digubal, penggunaan media sosial belum lagi menjadi satu pengaruh besar dalam kehidupan harian orang ramai.

Katanya, pada awal tahun ini, Malaysia mempunyai 28.68 juta pengguna media sosial bersamaan dengan 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara.

“Namun peningkatan jumlah pengguna ini turut datang bersama peningkatan risiko pengguna terdedah kepada kandungan memudaratkan. Pada 2022, terdapat 3,119 aduan terhadap perkhidmatan media sosial berkenaan kandungan memudaratkan dan jumlah aduan tersebut meningkat sebanyak 3,821 pada tahun lalu.

“Bagi pecahan platform pula, dari 2021 sehingga kini, aplikasi Facebook telah menerima 7,581 aduan berkenaan kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Azalina memberitahu, menurut data yang diterbitkan Meta, syarikat gergasi yang memiliki Facebook, Malaysia mempunyai lebih daripada 28 juta orang pengguna berdaftar di platform media sosial itu.

Data tersebut jelasnya, menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna Facebook dan mereka sangat terdedah kepada kandungan memudaratkan di platform berkenaan.

“Statistik ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka adalah selamat untuk digunakan oleh pengguna-pengguna mereka.

“Di sebalik keuntungan besar dicatatkan mereka, platform-platform ini sering gagal untuk menyediakan mekanisme kawalan efektif bagi membanteras kandungan memudaratkan, seperti buli siber, eksploitasi kanak-kanak, dan keganasan,” katanya.

Tambah beliau, banyak negara telahpun mengambil langkah yang sewajarnya dalam menggubal undang-undang keselamatan dalam talian untuk melindungi rakyat mereka daripada ancaman siber yang semakin meningkat.

Katanya, memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terdedah dengan kemudaratan jenayah dalam talian, perundangan baharu
merupakan satu langkah positif dan proaktif untuk menjamin keselamatan ekosistem dalam talian.

Berkenaan dakwaan bahawa kerajaan bertindak zalim dan menyekat kebebasan bersuara katanya, seperti hak-hak lain, kebebasan ini bukanlah sesuatu kebebasan yang mutlak.

“Perkara 10 tersebut sendiri menyatakan bahawa hak-hak ini adalah tertakluk kepada undang-undang yang boleh digubal oleh Parlimen bagi melindungi kepentingan awam seperti keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan tanggungjawab sosial untuk memastikan ia tidak digunakan bagi menyebarkan kandungan yang berbahaya yang membawa impak kepada institusi kekeluargaan dan kanak-kanak.

“Had-had yang wajar ke atas kebebasan ini adalah penting untuk melindungi keamanan, keharmonian sosial dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas