Biz

Umrah DIY ancam pengendali

JEMAAH umrah yang mengikuti pakej di bawah Family Travel baru-baru ini.
- Diterbit 14 Januari 2025 3:07 PM MYT

MENGUNJUNGI Tanah Haram untuk menunaikan umrah sudah pastinya menjadi impian setiap Muslim. Namun tidak semua yang berkesempatan disebabkan pelbagai faktor antaranya pakej ditawarkan agensi umrah di luar kemampuan.

Dek kerana itu‚ sejak beberapa tahun kebelakangan ini ramai yang memilih untuk merancang perjalanan umrah secara Do-It-Yourself (DIY) tanpa perlu bergantung kepada agensi pelancongan serta pakej yang ditawarkan.

Tidak dinafikan trend tersebut menjadi cabaran besar terhadap agensi pengendali umrah masa kini sekali gus tempahan kepada agensi mencatatkan penurunan kerana persaingan dari segi harga.

Memberi pandangan tentang perkara tersebut‚ Ketua Operasi Family International Travel & Tours‚ Luqman Hakim Zaharuddin berkata‚ kewujudan trend tersebut memerlukan pengendali umrah menjadi lebih inovatif dalam menyesuaikan perkhidmatan ditawarkan dengan kehendak jemaah masa kini.

“Antara faktor ramai jemaah memilih umrah DIY kerana mereka tidak perlu terikat dengan jadual dan memiliki kelonggaran untuk bergerak mengikut masa masing-masing.

“Bagaimanapun agensi pelancongan tidak boleh mengekang jemaah berbuat demikian kerana ia adalah pilihan pelanggan‚” ujarnya kepada Wilayahku.

Bagi bersaing secara sihat‚ Luqman Hakim berkata antara langkah yang dilakukan pihaknya adalah dengan memanfaatkan teknologi sedia ada dalam mempromosi pakej yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai pelanggan.

“Saya percaya masih ramai yang memerlukan khidmat pengendali umrah terutama mereka yang mahukan private trip bersama keluarga terutama yang mempunyai anak kecil atau warga emas.

“Selain itu‚ antara langkah lain bagi memastikan pelanggan memilih pakej umrah bersama pengendali adalah dengan menyediakan pakej khusus‚ fleksibel dan berpatutan selain memberi penekanan pada pengalaman berbeza juga peningkatan perkhidmatan serta nilai tambah‚” katanya.

Mengulas lanjut‚ beliau berkata perbezaan cabaran bagi pengendali umrah berbanding dengan cabang perniagaan yang lain adalah melibatkan kos yang sangat besar.

“Untuk perniagaan makanan‚ pakaian dan sebagainya pelanggan boleh terus memilih untuk membeli produk tersebut‚ berbeza kami kerana ia melibatkan harga ribuan ringgit di mana pelanggan perlu berfikir banyak kali untuk menentukan pakej yang terbaik.

“Kami faham situasi tersebut dan kerana itu kami cuba untuk menawarkan pakej dengan harga yang mampu milik dalam masa sama mempunyai kualiti tersendiri‚” jelasnya yang mempunyai petugas di Madinah dan Makkah.

Berkongsi perancangan akan datang‚ Luqman Hakim berkata mereka menyasarkan lebih ramai jemaah pada tahun 2025.

“Kini syarikat yang menawarkan pakej umrah tumbuh bagaikan cendawan‚ jadi kita perlu kerja dengan lebih keras dari sudut pemasaran secara offline mahupun online.

“Kami juga dalam perancangan untuk menawarkan pakej umrah ziarah mungkin ke Mesir atau Turki agar para jemaah dapat melawat dua ke tiga negara dalam satu masa. Selain itu‚ kami juga menambah baik perkhidmatan untuk private trip kerana pada masa ini lebih ramai yang memilih pakej tersebut bagi memudahkan bergerak bersama ahli keluarga dan mereka yang dikenali sahaja‚” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas