Berita

UM sahkan kemasukan murid cemerlang berusia 12 tahun

- Diterbit 30 September 2024 10:31 AM MYT

UNIVERSITI Malaya mengesahkan kemasukan murid cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti.

Katanya, ia diluluskan Senat universiti bagi menyambung pengajian di Universiti Malaya.

“Memandangkan usia Izz Imil yang begitu muda, pihak universiti memohon semua pihak untuk memberikan ruang dan privasi kepada pelajar tersebut melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti.

“Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu tular satu hantaran di media sosial mengenai Izz Imil yang berjaya memasuki universiti itu biarpun masih berusia 12 tahun.

Ia sekali gus mencatat sejarah pelajar termuda berjaya mendaftar masuk ke UM sejak penubuhannya.

Izz Imil sebelum ini mendaftar di Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia selepas berupaya menyelesaikan soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas