UNIVERSITI Malaya (UM) menafikan laporan seorang pensyarah yang ditahan kerja atas dakwaan berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar masih muncul di kampus.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan UM mengesahkan tiada arahan dikeluarkan kepada pensyarah berkenaan untuk hadir di kampus oleh pihak fakulti atau jabatan berkaitan.
“Tinjauan juga mendapati bahawa tiada petunjuk atau saksi yang dapat mengesahkan perkara ini.
“Pensyarah berkenaan telah dihubungi untuk memastikan beliau tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh tahan kerja yang dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya, pihak UM sentiasa memastikan keselamatan semua pihak dalam kampus terutamanya para pelajar.
Kenyataan ini menyusul dakwaan seorang mangsa yang memberitahu sebuah portal dalam talian semalam mengatakan pensyarah terbabit masih hadir di kampus selepas ditahan kerja pada 23 Disember lalu.
Pada 23 Disember lalu, UM mengesahkan pensyarah dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual itu ditahan kerja mengikut Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas perkara itu, dan memandang serius sebarang salah laku membabitkan kakitangan di institusi pengajian tinggi. – WILAYAHKU
[Iklan]