UNIVERSITI Malaya (UM) menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyimbah cat merah di premis KK Mart dalam kampus universiti tersebut.
UM berkata ini bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
“UM memandang serius kejadian simbahan cat yang berlaku di premis KK Mart dalam kawasan kampus.
“Susulan insiden ini, satu laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, UM berkata pihaknya komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
UM turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil bagi membantu siasatan.
Premis itu sebelum ini terpalit kontroversi berhubung penjualan sandwic ham & cheese yang didakwa menggunakan logo halal secara tidak sah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan kepingan ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut mempunyai sijil halal, namun sandwic itu sendiri serta syarikat yang mengeluarkannya tidak memiliki sijil halal.
KK Mart juga menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic berkenaan serta menghentikan bekalan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangannya. – WILAYAHKU