Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Ujian Kerajaan MADANI di Sungai Bakap

NIBONG TEBAL, 8 Jun -- Dengan berbaki dua minggu lagi untuk hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, suhu politik di Pulau Pinang khususnya kawasan di bawah Parlimen Nibong Tebal sudah mula panas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut. Gambar menunjukkan kawasan yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 28 Jun 2024 10:20 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MINGGU ini, sebagaimana minggu-minggu yang lepas, politik Malaysia kecoh lagi. Walaupun kerajaan stabil tetapi isu politik tidak pernah reda.

Fokus politik minggu ini tertumpu kepada sesi kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang. Bagi ramai penganalisis politik, Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Malaysia MADANI akan berjaya mengambil alih kerusi ini selepas jatuh ke tangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Mereka memberikan tiga perkara yang membolehkan Sungai Bakap kembali kepada PH. Pertama, Pilihan Raya Kecil banyak dipengaruhi oleh kerajaan yang memerintah. Mana-mana parti politik yang menguasai kerajaan yang memerintah, parti itulah yang akan mudah menang.

Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri bahkan Ahli Parlimen di sini kesemuanya dikuasai oleh PH. Dengan ketiga-tiga kerajaan ini, sudah pasti ia akan memberikan kelebihan besar kepada calon PH untuk menang.

Yang memberikan kesan besar yang kedua adalah Ahli Parlimen di atas Sungai Bakap adalah seorang Menteri. Fadhlina Sidek adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal yang menaungi DUN Sungai Bakap. Fadhlina adalah Menteri Pendidikan yang sepatutnya mempunyai pengaruh yang besar kepada penduduk di sini.

Dalam masa yang sama, Fadhlina juga adalah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pengaruh jentera wanita dalam mana-mana pilihan raya amatlah besar. Ini kerana, jentera wanitalah akan membuat kempen dari rumah ke rumah dan bersemuka secara langsung dengan pengundi.

Kalau jentera wanita tidak menjalankan tugasnya bermakna mereka mahu menjatuhkan air muka ketua mereka, Fadhlina Sidek. Begitu juga sebaliknya. Kalau Fadhlina gagal menggerakkan jenteranya, bermakna beliau gagal dalam memimpin wanita PKR dan bakal dimalukan sebagai menteri yang menjadi Ahli Parlimen yang menaungi Sungai Bakap.

Dua faktor ini sahaja, kerajaan dan Fadhlina adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal sudah cukup untuk memastikan kerusi ini dimenangi oleh calon PH dalam pilihan raya kecil kali ini.

Namun, di sebalik teori di atas kertas itu, faktor sebenar yang akan menentukan sama ada calon PH, Cikgu Joohari boleh menang atau tidak adalah kempen di bawah itu sendiri. Ia menjadikannya faktor ketiga.

Apakah pemimpin Kerajaan Pusat menjalankan peranannya untuk memastikan calon PH menang akan menentu Cikgu Joohari boleh jadi wakil rakyat atau tidak. Apakah menteri-menterinya memastikan anak buah mereka menjalankan tugas atau tidak.

Begitu juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Apakah pemimpin Kerajaan Negeri menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin untuk memastikan calon mereka ini menang atau tidak.

Berdasarkan pengalaman dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB), peranan pemimpin Kerajaan Negeri amat besar sekali. Merekalah yang sebenarnya berjaya membolehkan kerusi KKB kekal di tangan PH.

Menurut seorang rakan media, pemimpin Kerajaan Negeri yang benar-benar telah membawa penduduk KKB untuk mengekalkan kerusi itu kekal di tangan PH. Ini kerana bentuk dan pendekatan kempen pilihan raya kecil jauh berbeza dengan Pilihan Raya Umum. Pengundi mahu apa dan itulah yang diberikan oleh pemimpin kerajaan Selangor di KKB.

Di Sungai Bakap, penggunaan sepenuhnya kedudukan PH sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Parlimen akan menentukan Cikgu Joohari boleh menjadi wakil rakyat atau tidak.

Peranan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menentukan Sungai Bakap boleh memberikan satu lagi kerusi tambahan kepada mereka atau tidak.

Jika mereka menjalankan tugas sebagaimana rakan-rakan mereka di Selangor menjalankan tugas ketika pilihan raya kecil KKB, Sungai Bakap akan kembali semula. Jika mereka hanya menjadi pemerhati dan menunggu orang lain untuk berkempen, sudah tentu cita-cita untuk dapatkan semula kerusi ini sukar.

Jika PH gagal merampas kembali Sungai Bakap dari PN dalam pilihan raya kecil ini, saya akan meletakkan kesalahan besarnya kepada pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ada seorang rakan berkata, apa kepentingan pilihan raya ini? Tiada, kata beliau.

Namun, bagi saya pilihan raya kecil ini akan memberikan signal penting untuk negara. Jika pengundi Sungai Bakap memberikan undi kepada calon PH, bermakna mereka menyokong dasar-dasar untuk memperkukuhkan negara yang sedang dibuat oleh Perdana Menter,i Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka akan memberitahu bakal pelabur bahawa kerajaan ini stabil dan disokong rakyat. Mereka juga akan memberitahu pegawai kerajaan bahawa kerajaan ini akan kekal untuk jangka masa panjang dan kamu hendaklah bekerja bersungguh-sungguh. Jangan sesekali menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

Memang isu penyusunan semula subsidi diesel yang baru dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini akan diuji, apakah ia diterima oleh rakyat atau tidak. Penduduk Sungai Bakap akan menjadi sampel kepada rakyat negara ini. Jika penduduk Sungai Bakap meluluskannya, bermakna rakyat Malaysia menerima pembaharuan yang hendak dibuat oleh kerajaan.

Selain kerajaan, UMNO juga akan diuji dalam pilihan raya ini. Apakah mereka kembali kukuh sebagai sebuah parti politik terbesar negara dan kepimpinannya semakin mantap juga akan dilihat menerusi pilihan raya kecil ini.

Jika calon PH menang, bermakna, para pengundi UMNO selama ini kembali semula kepadanya. Ia akan menolak sama sekali usaha yang sedang dibuat oleh para penentang kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dari dalam parti itu sendiri.

Oleh itu, jentera UMNO perlu memperlihatkan diri dan mempastikan akar umbi UMNO benar-benar turun untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya ini.

Ini hanya sekadar pandangan penulis berdasarkan senario politik negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas