ALAM Flora Environmental Solutions (AFES), syarikat di bawah naungan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan juga merupakan anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melancarkan inisiatif kebun kompos di Presint 18, Putrajaya, dalam menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan yang dirawat dengan menggunakan mesin komposnya.
Menurut Pengurus Jabatan Kitar Semula AFES, Ismi Azura Istear Khan, program yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu bertujuan untuk menguji kualiti baja kompos yang dihasilkan daripada komposisi sisa makanan yang dikumpul di persekitaran Putrajaya serta untuk kegunaan program Kebun Komuniti di sekitar Putrajaya.
“AFES mampu menghasilkan 250 hingga 300 kilogram baja setiap bulan.
“Hari ini, 90 kilogram baja yang dihasilkan daripada sisa makanan telah disampaikan kepada wakil komuniti dan peniaga tempatan, sebagai contoh ekonomi kitaran yang berkesan.
“Sejak tahun 2015, AFES telah pun mengoperasikan mesin kompos untuk memproses sisa makanan dari kawasan sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata inisiatif ini selaras dengan matlamat bandar rendah karbon Putrajaya menjelang 2030 yang menyasarkan pengurangan 30 peratus sisa per kapita dan peningkatan dua peratus kadar kitar semula setiap tahun.
“Proses kompos membantu mengurangkan jumlah sisa yang dibawa ke tapak pelupusan.
“AFES akan terus komited dalam memajukan usaha kelestarian di Putrajaya dengan meningkatkan pengasingan sisa dan mengguna pakai teknologi hijau,” ujarnya.
Ismi berkata kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya dan komuniti akan memperkukuh reputasi Putrajaya sebagai bandar model pelaksanaan program kitar semula dan pengurusan alam sekitar di Malaysia.
“Dengan strategi pengurusan sisa pengkomposan yang inovatif, AFES berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon dan membina masa depan yang lebih hijau di Putrajaya,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj, Nik Shukri Nik Soh berkata kerjasama yang dijalankan bersama pihak AFES ini merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kadar kitar semula di Putrajaya dan sekali gus menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh dalam mencapai aspirasi bandar yang mampan.
“Sejak tahun 2004 sehingga kini, Perbadanan Putrajaya dan Alam Flora telah bekerjasama bagi menjayakan pelbagai program kitar semula termasuk pemprosesan sisa makanan menerusi sistem kompos menggunakan mesin.
“Sepanjang tahun ini, kami telah menyedari peranan penting yang dimainkan oleh pengurusan sisa dalam membentuk masa depan yang mampan untuk bandar Putrajaya.
“Salah satu perkembangan terkini dalam perjalanan ini ialah penubuhan kebun kompos kami di Presint 18, Putrajaya. Kebun kompos ini menempatkan pelbagai jenis tumbuhan, termasuk kacang buncis, cili dan daun pandan.
“Selain itu, kebun ini bukan sahaja ruang untuk bercucuk tanam tetapi ia adalah contoh bagaimana kita boleh mengubah sisa makanan menjadi sumber yang bermanfaat.
“Untuk pengetahuan semua, terdapat satu mesin pengkomposan yang telah diuruskan oleh pihak AFES sejak 2015. Mesin ini memproses sisa makanan dari kawasan berhampiran di Presint 18, memproses sisa makanan menjadi kompos,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata sasaran pihaknya pada masa hadapan adalah untuk mempelbagaikan lagi tanaman yang ditanam di kebun kompos ini bagi melihat kualiti dan keserasian di antara baja kompos yang dihasilkan dengan tanaman. – WILAYAHKU