Berita

UiTM cipta 16 paten baharu

- Diterbit 25 November 2024 4:47 PM MYT

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) berjaya memperoleh lebih RM60 jutageran industri pada tahun 2023 sekali gus mencerminkan keyakinan sektor industri terhadap keupayaan penyelidik UiTM.

Melalui geran tersebut, hasil penyelidikan UiTM dapat diterapkan dalam pelbagai sektor serta dapat menyumbang kepada ekonomi negara dan mempercepatkan inovasi berasaskan permintaan.

UiTM dalam satu kenyataan berkata, selain itu, 16 paten baharu turut dicipta yang mencerminkan kreativiti dan kemampuan universiti dalam teknologi serta inovasi yang bersifat komersial dan berpotensi besar.

“Paten ini meliputi pelbagai bidang, dari teknologi perubatan hingga kejuruteraan, yang memberi impak langsung kepada industri tempatan dan antarabangsa. Selain itu, ia turut memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dan industri,” tulis kenyataan itu.

Dalam masa sama, universiti tersebut berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam dunia penyelidikan dan inovasi dengan pencapaian yang luar biasa sepanjang tahun 2023 dan diraikan dalam Majlis Sanjung Sarjana 2024 baru-baru ini.

“10 saintis kami turut disenaraikan dalam Top 2% World Scientists. Antara penerima pengiktirafan ini ialah Profesor Dr Fadzlan Sufian dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan Profesor Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abu Hassan (Fakulti Pergigian) yang menyumbang kepada bidang sains perubatan dan farmaseutikal.

“Majlis turut memberi penghargaan kepada Profesor Ir Dr Nofri Yenita Dahlan yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Solar (Solar Research Institute) sebagai Tokoh Penyelidikan UiTM atas sumbangan dan peranan beliau dalam memajukan teknologi hijau di Malaysia,” ujarnya.

Turut menerima anugerah, Profesor Madya Dr Mohd Lokman Ibrahim (Fakulti Sains Gunaan) sebagai Tokoh Penyelidik Cemerlang dan Profesor Madya Dr Nadiah Abd Hamid (Fakulti Perakaunan) menerima anugerah Penyelidik Harapan.

Terdahulu, turut hadir Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor  Ts Dr Norazah Abd Rahman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas