Berita

Turun naik mata wang perkara biasa, rakyat tidak perlu panik

MALAYSIA mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk pelaburan dalam negara
- Diterbit 1 Mac 2024 8:50 AM MYT

RAKYAT tidak perlu panik kerana ekonomi Malaysia masih berada pada paras membangun serta baik di dalam fasa pemulihan.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit dijangkakan lebih baik daripada sekarang susulan sokongan daripada pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini.

Menurut Mohd Afzanizam, turun naik mata wang, adalah perkara biasa dan sering didorong oleh penunjuk makroekonomi memandangkan Malaysia adalah negara perdagangan terbuka.

“Kalau cakap pasal pasaran, kita tidak boleh lari daripada faktor sentimen seperti psikologi, hala tuju kadar faedah seperti negara Amerika Syarikat (AS) juga mainkan peranan.

“Melihat kepada petunjuk makroekonomi, lebihan akaun semasa bagi 2023 kekal pada 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk pelaburan dalam negara,” kata beliau pada Selasa.

Jelasnya, rakyat tidak perlu panik kerana kerajaan sudah merangka pelbagai kaedah untuk meningkatkan ekonomi melalui belanjawan, rancangan separuh penggal dan pelbagai lagi.

“Dalam masa sama, pelaksanaannya juga perlu dilakukan secara beransur-ansur bukan sekali gus yang akan memberi kejutan ekonomi.

“Rakyat juga tidak boleh buat sebarang andaian, saya percaya nilai ringgit akan menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, negara kini lebih bersedia dan pelbagai rancangan telah dilaksanakan berbanding ketika krisis ekonomi 1998.

“Jika dahulu sistem perbankan kita tenat, jadi ia beri kesan kepada penerimaan deposit dan pinjaman, kena buat tambatan ringgit, kawalan modal dan harta namun kini tidak lagi.

“Masalah ekonomi kini lebih kepada faktor­ luaran, struktur, kos sara hidup dan itu semua perlukan masa untuk penyelesaian berperingkat bukan serta-merta,” jelasnya.

­Tambahnya, pembangunan ekonomi sudah dirancang dan kini di dalam fasa pelaksanaan yang kini sedang dipantau hasilnya.

Katanya, walaupun nilai ringgit semasa memberi manfaat kepada pengeksport dalam ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, inflasi global yang tinggi telah melembapkan permintaan produk, justeru itu, ringgit menghadapi dinamik dua pilihan yang sukar.

“Ringgit dikatakan boleh memberi manfaat kepada industri pelancongan di Malaysia dalam jangka pendek.

“Tetapi kami berpendapat paras 4.80 adalah berlebihan, terutamanya dengan jangkaan pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, media baru-baru ini melaporkan, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kelemahan semasa ringgit adalah sementara kerana pasaran global, terutamanya rakan dagangan terbesar Malaysia, iaitu China sedang mengimbangi semula trend inflasi mereka.

Beliau menyifatkan penyusutan nilai ringgit sekarang sebagai reaksi yang berlebihan.

“Namun, konteks yang lebih luas bagi banyak negara Asia yang bergelut di bawah keadaan kewangan yang ketat, terutamanya yang bergantung kepada pembiayaan dalam didominasi dolar AS, menjadikan akses pendanaan luar terlalu mahal,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas