Berita

Tuntutan palsu RM15 juta: SPRM tahan polis, pengarah syarikat

- Diterbit 24 April 2025 5:30 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk seorang Pengarah syarikat, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan dua pegawai polis dalam Op C4i kerana disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.

Ini bagi Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i).

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April ini dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan sekitar pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta di mana sebahagian daripada kerja-kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.

“Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Sumber memberitahu, penggeledahan telah dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa buah syarikat di sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Susulan itu, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta.

“Menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM ini, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, AS$388, 2,340 riyal, 1,789 riyal Qatar, 15,055 dirham dan 21,219 tenge Kazakhstan, serta sembilan unit telefon bimbit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) AMLA. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas