Berita

Tuntutan palsu RM10 juta: Pemilik syarikat direman empat hari

SUSPEK yang juga pemilik syarikat direman selepas disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai RM10 juta.
- Diterbit 18 November 2024 12:11 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pemilik syarikat disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 20 November ini dikeluarkan Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada 2019 sehingga tahun ini.

“Reman terhadap suspek adalah susulan tangkapan membabitkan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada Rabu minggu lalu.

“Suspek yang juga merupakan pengurus sebuah syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki telah mengemukakan tuntutan palsu syarikat beliau bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan-tuntutan palsu tersebut,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas