Berita

Tuntutan negara luar ke atas mana-mana bahagian di Malaysia tiada asas

Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
- Diterbit 10 Disember 2024 11:07 AM MYT

SEBARANG tuntutan negara luar ke atas mana-mana bahagian di dalam negara ini, termasuk Sabah, tidak mempunyai apa-apa asas berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri berkata, pendirian Malaysia ke atas kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan di kawasan maritim Malaysia tetap utuh dan akan sentiasa dipertahankan selaras prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (KUUL) 1982.

Katanya, setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif dan teliti berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa termasuk KUUL 1982.

“Dalam hubungan ini, kerajaan tidak akan sesekali pada bila-bila masa memprejudiskan kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) mengenai tindakan kerajaan terhadap langkah Filipina meluluskan dua undang-undang maritim yang menganggap sebahagian besar kawasan perairan dan pelantar benua Sabah sebagai wilayahnya.

Kementerian Luar Negeri memberitahu, berhubung perkara itu, Malaysia membantah sebarang elemen pencerobohan dalam kedua-dua akta iaitu Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina ke atas zon maritim dan fitur maritim yang melibatkan kawasan maritim Malaysia berdasarkan kepada Peta Baru Malaysia 1979.

“Apa-apa tuntutan negara luar, termasuk Filipina ke atas mana-mana bahagian di dalam negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat, termasuk Sabah, tidak mempunyai apa-apa asas berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Kementerian itu menambah, pihaknya telah membuat bantahan secara rasmi kepada Kerajaan Filipina berkaitan dengan kedua-dua akta maritim tersebut kerana ia menyentuh hal ehwal kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas