SAMBUTAN luar biasa terhadap Program Baucar Buku MADANI Pelajar IPT Fasa 2 mencerminkan keprihatinan serta kesungguhan mahasiswa dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan bagi memperkukuh proses pembelajaran.
Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dalam satu kenyataan berkata, sejak pelancaran program tersebut, portal mysiswaplace.my telah mencatatkan peningkatan trafik yang amat luar biasa, dengan ribuan mahasiswa mengunjungi portal setiap hari untuk menebus baucar buku mereka.
“YPS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara atas sambutan yang luar biasa. Sehubungan dengan sambutan luar biasa terhadap Program Baucar Buku MADANI Fasa 2, YPS ingin memohon kerjasama semua mahasiswa untuk bersabar dalam proses penghantaran pesanan buku mereka yang kini sedang diproses oleh rakan kongsi dan pengedar kami.
“Jumlah pesanan yang diterima adalah sangat tinggi, namun kami memastikan setiap pesanan diproses dengan teliti bagi memastikan buku yang diterima berada dalam kualiti dan keadaan terbaik,” ujarnya pihak YPS, bersama rakan pengedar dan rakan penghantaran komited untuk menghantar setiap pesanan dalam tempoh yang secepat mungkin.
YPS turut memaklumkan kepada semua mahasiswa bahawa tiada istilah kehabisan baucar bagi Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 di mana setiap mahasiswa yang memenuhi syarat kelayakan adalah layak untuk menebus baucar tersebut.
“Baucar akan terus tersedia untuk digunakan oleh mahasiswa yang layak sehingga tarikh akhir penebusan pada 31 Disember 2024. Kami juga ingin mengingatkan mahasiswa agar memastikan maklumat yang dimasukkan semasa proses penebusan, seperti nombor matrik dan maklumat lain, adalah tepat dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Sekiranya terdapat sebarang masalah atau kekeliruan, pasukan khidmat pelanggan kami sedia membantu anda pada bila-bila masa, 24 jam sehari, bagi memastikan proses penebusan berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah,” ujarnya.
Selain itu, YPS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk penerbit dan pengedar buku terkemuka dan lebih daripada 300 pengedar lain, yang telah memberikan sokongan padu dalam memastikan kejayaan program ini.
“Kerjasama erat daripada pihak-pihak ini membuktikan usaha kolektif kita dalam memperkukuh budaya ilmu dan amalan membaca di kalangan masyarakat.
“Kami percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja memudahkan mahasiswa untuk memperoleh bahan bacaan berkualiti, tetapi juga menjadi langkah penting dalam menyemarakkan budaya pembelajaran dan pembacaan, yang merupakan asas kepada pembangunan intelektual masyarakat.
“Sokongan dan komitmen anda terhadap program ini amat kami hargai, dan bersama-sama, kita mampu membentuk masyarakat Malaysia yang lebih berilmu, berinformasi, dan berwawasan,” ujarnya.
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara kini boleh menuntut Baucar Buku Madani Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my.
Baucar ini memberikan kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan budaya pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan mahasiswa. – WILAYAHKU