Berita

Tunggu laporan penuh SAR selesai – Zaliha

- Diterbit 24 Ogos 2024 8:37 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihak berkuasa menunggu laporan penuh daripada semua pasukan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Beliau berkata ini bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Katanya, laporan penuh akan dikeluarkan selepas operasi SAR selesai dan pihaknya akan berbincang mengenai tindakan seterusnya.

“Inisiatif seterusnya (mengenai punca kejadian tanah jerlus) kita akan lihat (kemudian). Dua lagi manhole (lurang kumbahan) (akan terbabit dalam pencarian) sehingga lokasi akhir ke kolam di Pantai Dalam selesai.

“Selepas itu, jika mangsa tidak ditemui, kita akan duduk berbincang kembali apakah tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Menurutnya, tempoh selesai operasi menyelamat itu masih belum dapat ditentukan lagi.

Zaliha berkata pihaknya akan melakukan proses pemetaan serta mendapatkan input terperinci termasuk aspek geologi mengenai keadaan tanah di kawasan itu.

“Ini bagi memastikan laluan di kawasan sekitar insiden selamat dilalui pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Zaliha turut menasihatkan orang ramai mengelak untuk datang ke lokasi kejadian bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan SAR sebaik mungkin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas