Berita

Tunggu hasil siasatan polis – Saifuddin Nasution

- Diterbit 5 Mac 2025 9:15 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat penemuan satu mayat pagi ini, dengan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurut beliau, maklumat awal menunjukkan kejadian berlaku pagi tadi, 5 Mac, dan pihak polis kini mengambil alih kes tersebut.

“Kita serahkan kepada pasukan polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Terlalu awal untuk sebarang spekulasi, dan saya akan memastikan sebarang perkembangan penting akan dikongsi dengan media pada masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan atau spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Mengulas mengenai inside juruhebah radio yang menyentuh sensitiviti agama lain, Saifuddin berkata satu laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan siasatan akan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.

“Meminta maaf adalah langkah yang baik, menunjukkan kesedaran individu terbabit. Namun, dalam soal undang-undang, setiap laporan akan disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kejadian ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

“Kita mahu memastikan negara ini kekal harmoni. Untuk itu, setiap individu perlu memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama dalam negara kita,” tambahnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas