PEMERGIAN Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam bidang diplomasi, pentadbiran dan dasar pembangunan berteraskan nilai.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Rastam Mohd Isa menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin berjiwa besar yang dekat dengan penjawat awam serta berkeupayaan membina hubungan antarabangsa melalui pendekatan sederhana namun berkesan.
“Saya mula mengenali Allahyarham sejak beliau menjadi Ketua Pengarah Belia. Ketika itu, saya baru bertugas dalam perkhidmatan awam dan sesekali berjumpanya di Kementerian kebudayaan Belia dan Sukan.
“Dari awal, pendekatan Allahyarham sangat mesra dan menyantuni setiap pegawai tanpa mengira pangkat,” katanya ketika ditemui Wilayahku di Masjid Negara pada Selasa.
Mengimbas kenangan bersama Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Pak Lah, Rastam berkata hubungan mereka terus terjalin ketika Tun dilantik sebagai Menteri Luar.
“Saya masih ingat, selepas saya pulang dari New York, saya ditugaskan ke Jakarta sebagai Duta Besar. Tun yang memberi amanah itu sendiri, katanya ‘pergilah ke Jakarta dan bantu kita uruskan pembinaan bangunan Kedutaan Besar yang baharu’.
“Sepanjang saya berkhidmat di luar negara termasuk di Pakistan, Bosnia dan sekali lagi di New York, saya tetap berpeluang bertemu beliau dalam pelbagai forum antarabangsa seperti di Bonn untuk membincangkan mengenai Pembangunan Bosnia selepas perang selain di London dan Jeddah.
“Ketika di Bosnia, kami sama-sama menyantuni rakyat selepas perang, satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya.
Menurut beliau Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah mesra, ingat nama pegawai walaupun hanya bertemu sekali dan amat menghargai sumbangan penjawat awam.
Malah, Pak Lah mempunyai pendekatan unik dalam berinteraksi – memanggil nama pendek setiap individu sebagai simbol keakraban dan kekeluargaan.
“Beliau hanya panggil saya ‘Tam’. Kalau nama Muhammad, akan dipanggil ‘Mat’. Itu cara beliau menunjukkannya dekat dengan orang bawahannya,” katanya.
Selepas kembali ke tanah air dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar pada 2006, Rastam berpeluang bekerja lebih dekat dengan Tun yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
“Saya berkesempatan mengiringi beliau dalam banyak lawatan rasmi ke luar negara – ke Rusia, Itali dan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah.
“Tun bukan sahaja disegani malah dikagumi oleh rakan sejawat di peringkat antarabangsa kerana pendekatan yang tenang tetapi jelas dan berprinsip,” katanya.
Menurut Rastam sewaktu Malaysia mengambil pendirian tegas dalam isu-isu antarabangsa semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Pak Lah menjadi suara yang membawa pendekatan diplomasi pintar, mencari rakan strategik dan membina pengaruh melalui dialog.
“Allahyarham bukan sahaja mewakili suara Malaysia, malah mewakili kepentingan Dunia Ketiga dengan penuh bijaksana.
“Kehadiran beliau di mesyuarat dan forum memberikan kesan positif dalam setiap perbincangan, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau amat dirasai,” katanya.
Pendekatan Pak Lah terhadap dasar luar negara pula amat strategik.
Beliau membawa suara Dunia Ketiga ke pentas antarabangsa dengan penuh diplomasi dan hormat, khususnya dalam memperjuangkan isu-isu Palestin, keamanan antarabangsa dan ketidaksamarataan global.
“Semasa saya bertugas di New York, saya lihat sendiri bagaimana beliau berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin dunia ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Beliau ada karisma tersendiri – lembut, tetapi tegas. Berbincang secara first-name basis dengan menteri-menteri luar menjadikan beliau dihormati dan disayangi,” katanya.
Menurut Rastam, keperibadian Tun Abdullah yang bersederhana, tidak memburu populariti, tetapi tetap tegas dan jelas dalam keputusan menjadikan beliau ikon kepimpinan yang sukar dicari ganti.
“Kami di Wisma Putra rasa sangat tenang dan dihargai sepanjang beliau menjadi Menteri Luar dan kemudiannya Perdana Menteri. Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang bukan hanya dirasai rakyat, tetapi juga dunia diplomasi dan perkhidmatan awam,” katanya.

Perdana Menteri kelima itu turut mempamerkan kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan dengan memperkenalkan pembaharuan dalam bentuk dasar-dasar progresif yang memberi impak besar kepada negara.
Ini termasuk memperkenalkan Islam Hadhari yang bukan sahaja membawa pendekatan Islam yang seimbang dan progresif, malah diterima baik di dalam dan luar negara. Ia membentuk naratif Malaysia sebagai negara Islam sederhana dan moden.
Dalam pentadbiran domestik, Allahyarham juga melaksanakan pembangunan koridor ekonomi seperti NCER, ECER, SCORE dan Iskandar Malaysia yang merangsang pembangunan wilayah secara bersepadu dan mampan.
Beliau juga melakukan penstrukturan besar apabila menaik taraf Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memperkukuh institusi integriti negara dan memberikan kuasa lebih jelas serta bebas kepada badan pencegahan rasuah.
Tun Abdullah meletakkan jawatan secara terhormat pada 2009 selepas lima tahun menerajui negara, satu tindakan yang disifatkan ramai sebagai lambang keikhlasan dan kesediaan meletakkan kepentingan negara mengatasi diri sendiri.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu pada usia 85 tahun dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Turut berangkat menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Mohd Fuzi Abdul Razak; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
Ucapan takziah daripada pemimpin dunia seperti Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Raja Salman dari Arab Saudi menyerlahkan pengaruh Pak Lah di arena antarabangsa.