KERAJAAN memutuskan supaya Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi diberi penghormatan ‘Istiadat Pengebumian Negara’.
Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir.
Ia katanya, diadakan di dewan solat utama Masjid Negara bermula pukul 11 pagi sehingga 1 petang.
“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara,” jelasnya.
JPM memaklumkan, pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam, manakala bagi bukan Islam pula Lounge Suit gelap.
Selain itu katanya, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.
“Pakaian bagi pelawat wanita Islam adalah baju kurung/kebaya labuh berwarna gelap dengan selendang/tudung putih.
“Bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih. Pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” katanya.
Menurut JPM, semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer dari Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang hingga selesai Istiadat Pengebumian.
Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam semalam. – WILAYAHKU