BEKAS Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran di Instagram Story yang memaklumkan pemergian tokoh negarawan tersebut ke rahmatullah.
“Kami dengan rasa dukacita memaklumkan bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 7.10 malam. Semoga Allah SWT merahmati roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan soleh. Al-Fatihah,” tulis Khairy.
Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai pemimpin berjiwa tenang dan membawa pendekatan Islam Hadhari dalam pentadbirannya.-WILAYAHKU