Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
SIBUK bekerja dan kurang arif mengenai diet yang seimbang punca ibu bapa mengabaikan pemakanan sihat untuk anak-anak sehingga menyumbang kepada tumbesaran mereka yang terbantut.
Rata-rata ibu bapa mengakui mereka kurang prihatin terhadap pemakanan anak-anak kerana sibuk bekerja dan kurang pengetahuan tentang pemakanan sihat.
Selebihnya, mereka menaruh kepercayaan penuh kepada pengurusan taska dan pengasuh serta tidak pula menyediakan bekal makanan kepada anak-anak secara konsisten.
Sementara itu, guru di sebuah taska, Mazlina Mohd Sheh berharap pengasuh dan ibu bapa bekerjasama untuk memastikan pemakanan berzat buat anak-anak yang sedang membesar.
“Pemakanan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan seharian bagi mengekalkan kesihatan seseorang. Ibu bapa diharapkan untuk tidak terlalu bergantung kepada pihak taska dan perlu memantau menu yang disediakan buat anak mereka.
“Di taska, kami menyediakan makanan yang berkhasiat, seimbang, sihat dan selamat kepada semua kanak-kanak bawah jagaan kami. Hal ini kerana ia dapat menjamin anak-anak mendapat tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti harian mereka.
“Antara makanan yang disediakan di sini adalah bijirin yang sedia untuk dimakan, roti, nasi atau bubur, ikan, ayam, daging dan makanan laut serta hidangan snek serta kuih-muih yang dikukus dan kurang manis. Untuk minuman pula, kita sentiasa menyediakan air kosong di pusat jagaan bagi menggalakkan pengambilan air manis. Jus buah yang tidak ditambah gula dan susu soya juga turut dihidang.
“Makanan-makanan seperti mi segera, gula-gula, makanan ringan, minuman kordial atau bersirap dan minuman berkarbonat (bergas) adalah makanan yang tidak disarankan di taska kerana ia mempunyai nutrien yang rendah dan tinggi kandungan gula, garam atau lemak. Selain itu, ia boleh menyebabkan kesan negatif pada kesihatan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Mazlina memberitahu kebersihan persekitaran juga sangat penting untuk memastikan anak tidak bantut.
“Salah satu pencetus masalah bantut ialah kerap cirit-birit yang berlaku disebabkan bakteria dalam makanan. Oleh sebab itu, kami di taska akan sentiasa memastikan kebersihan di persekitaran kawasan rumah dan permainan anak sekerap mungkin,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa prinsip amalan pengambilan makanan sihat perlu diterapkan daripada awal usia anak iaitu dengan memberi makanan bernutrisi tinggi daripada pelbagai jenis sumber makanan secara kerap dalam kuantiti kecil mengikut tekstur yang sesuai, tepat pada masa dan selamat.
“Ini penting kerana keperluan tenaga, nutrien dan tekstur makanan anak berubah mengikut umur. Dalam situasi kekurangan pengambilan makanan berkhasiat, faktor kesihatan dan jangkitan berulang yang sering dialami kanak-kanak seperti selesema, demam, lelah dan cirit-birit juga boleh menyekat selera serta pengambilan makanan anak,” ujarnya.
Beliau berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak agar lebih berdisiplin ketika makan dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada taska.
“Kadang-kadang apabila anak sering bersuap dan tidak disiplin semasa makan mungkin menyebabkan mereka kurang makan ketika berada di taska,” ujarnya.
Di samping itu, Mazlina turut menyarankan ibu bapa untuk menghantar anak ke taska yang berdaftar serta mengikuti kursus wajib seperti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA.
“Peserta yang mengikuti kursus telah didedahkan dengan ilmu berkaitan pengurusan bayi dan kanak-kanak, penyediaan makanan dan minuman, kesihatan dan keselamatan serta penerapan ilmu pendidikan bersesuaian dengan tahap umur dan perkembangan meraka.
“Saya difahamkan masih banyak taska di ibu kota tidak berlesen terutamanya di rumah. Ibu bapa kena ambil maklum mengenai hal lesen ini selain perlu lihat menu yang ditawarkan di taska.
“Makanan adalah perkara yang penting yang mana perlu ada tiga sesi jadualnya iaitu pagi, tengah hari dan petang. Kita mempunyai standard menu dan prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya. – WILAYAHKU