Berita

Tular tak salam menteri, CEO MADACorp minta maaf

- Diterbit 3 Oktober 2024 9:33 AM MYT

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp), Abdullah Ismail mengemukakan permohonan maaf atas kekhilafannya tidak bersalam dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau menjelaskan sudah bersalam dengan Mohamad sebaik menteri tiba di Program Sentuhan Madani yang diadakan di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar Alor Setar Isnin lalu.

“Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan menteri sebaik saja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai yang lain

“Saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu. Jadi saya terkedu dan terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular video memaparkan Abdullah dilihat enggan bersalaman bersama Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke Kedah pada Isnin lalu.

Sementara itu, Abdullah berharap penjelasan dan permohonan maafnya itu diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatannya itu.

“Saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang telah berlaku,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas