DEMI memastikan usaha memelihara dan memulihara ekosistem kehidupan laut yang kian terancam di perairan kawasan pulau ini terus terpelihara, Persatuan Nelayan Kawasan Labuan Utara (PNKLU) mengambil usaha melaksanakan aktiviti melabuhkan tukun tiruan.
Menurut Pengurus Besar PNKLU, Zubaidah Kilo, pihaknya menggunakan pendekatan itu bagi meningkatkan ekosistem kehidupan laut di pulau ini sekali gus sebagai tempat pembiakan hidupan laut.
Katanya, aktiviti melabuh tukun tiruan itu telah memberikan kesan positif kepada hidupan marin khususnya kepada golongan nelayan dalam mendapatkan hasil tangkapan ikan di kawasan perairan ini.
“Sejak persatuan ini ditubuhkan pada tahun 2022, pihak kami amat menekankan kepentingan memelihara dan memulihara hidupan laut kepada ahli-ahli persatuan agar ia dapat memastikan habitat dan pembiakan khususnya ikan dapat dipertingkatkan.
“Untuk menjayakan usaha itu, kami melaksanakan beberapa aktiviti melabuhkan tukun tiruan sepanjang tahun dengan menggunakan bahan-bahan buang seperti tayar motosikal yang tidak digunakan.
“Kami melihat dengan menggunakan barang buang seperti getah tayar motosikal, ia mempunyai ketahanan yang lama di dalam air berbanding tukun tiruan berasaskan kayu yang hanya mampu bertahan sekitar tiga ke empat bulan sahaja.
“Selain itu, ia juga tidak memerlukan modal kerana barangan terbuang itu diperoleh secara percuma dari bengkel di sekitar sini.
“Sehingga kini, pihak kami berjaya melabuhkan lebih 30 tukun tiruan di sekitar Kampung Nagalang dan Kampung Tanjung Aru. Berdasarkan pemerhatian daripada ahli-ahli kami yang juga golongan nelayan, ada peningkatan pembiakan ikan di sekitar perairan pulau ini.
“Dengan usaha ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada hidupan laut malahan dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan di pulau ini,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Tambahnya, pihaknya turut sering bekerjasama dengan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi kerajaan mahupun swasta dalam melestarikan kehidupan laut di pulau ini terus terpelihara.
Katanya, pihak kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk projek dengan tujuan memastikan nasib golongan nelayan terus terbela khususnya di Labuan.
Sementara itu, seorang nelayan veteran, Talip Montel, 73, menyifatkan usaha yang dilaksanakan sebagai satu usaha yang murni dalam memartabatkan nasib golongan nelayan di pulau ini dan secara tidak langsung dapat memelihara hidupan laut yang mana kian terancam.
“Sebagai nelayan, saya amat menyokong sepenuhnya usaha yang dilaksanakan ini kerana tanpa usaha ini tempat pembiakan hidupan laut akan terjejas dan pada ketika ini terumbu karang di perairan Labuan juga semakin pupus.
“Alhamdulillah, dengan usaha melabuh tukun tiruan ini kami melihat jumlah ikan di perairan Labuan semakin meningkat dan hasil pendapatan pun secara tidak langsung meningkat.
“Saya harap usaha memulihara dan memelihara kelestarian hidupan laut ini terus dilaksanakan kerana ia perkara penting dalam kehidupan kita sebagai salah satu sumber makanan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara jiran iaitu Filipina sehingga ke kawasan persisiran pantai, beliau sekeras-kerasnya membantah tindakan nelayan asing yang sering mengambil hak nelayan tempatan.
Katanya, kesan pencerobohan nelayan asing bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan malah mereka juga merosakkan ekosistem hidupan laut dengan menggunakan kaedah pengeboman ikan dan sebagainya.
“Penguatkuasaan daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut telah dilaksanakan secara kerap di kawasan perairan Labuan namun penceroboh nelayan asing ini tetap degil dan licik.
“Kebimbangan itu sememangnya tidak dinafikan, lebih-lebih lagi ia akan memberikan kesan negatif kepada hidupan laut dan para nelayan tempatan. Bagaimanapun, kami berharap kegiatan pencerobohan nelayan asing ini dapat dibendung dengan secara lebih holistik,” katanya. – WILAYAHKU