SERAMAI tujuh remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun membabitkan tiga pelajar sekolah di sini, dicekup polis akibat terbabit dalam kegiatan mencuri motorsikal di pulau ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim, pihaknya telah menerima sebanyak empat laporan polis mengenai kes kecurian motorsikal yang berlaku di tempat sama pada 17 Jun hingga 26 Julai lalu.
Katanya, kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak Jun lalu dan disyaki telah terbabit dalam empat kes kecurian motorsikal.
Susulan laporan itu, Mohd Hamizi berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi membenteras dan mengesan pelaku dalam kes tersebut.
“ Hasilnya pada 14 Julai lalu, pasukan khas telah menemui semula sebuah motorsikal yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu di kawasan semak Kampung Sungai Bedaun.
“Berikutan itu, pasukan polis telah menahan dua remaja lelaki serta merampas sebuah motorsikal pada jam 4.20 pagi 27 Julai lalu.
“Hasil semakan mendapati motorsikal yang dirampas merupakan motorsikal yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu,” katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut daripada penangkapan keatas dua remaja yang ditahan membawa kepada penahanan lima lagi remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun.
“Dengan tertangkapnya tujuh remaja lelaki itu, polis berjaya menemui semula dua motosikal lagi yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu.
“Ini bermakna, empat kejadian kecurian motosikal dalam tempoh sebulan berjaya diselesaikan. Semua suspek yang terbabit juga berjaya ditahan dan semua motosikal yang dicuri ditemui semula,” katanya.
Tambah beliau lagi, siasatan telah lengkap dijalankan dan diserahkan kepada pejabat peguam negara.
“Semua suspek akan dituduh di mahkamah pada hari ini mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghapuskan sebuah kenderaan motosikal yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya. – WILAYAHKU