MENJADI Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Kerajaan Negeri Pahang bukanlah dilihat sebagai YB ‘pintu belakang’ seperti yang ditohmah sesetengah pihak, bahkan tugasnya jauh lebih mencabar dan perlu mewakili kumpulan etnik tertentu seperti Orang Asli dan kumpulan masyarakat yang lain agar suara mereka didengari.
Sebagai ADUN Lantikan (AL), tugasannya meluas dan tidak terhad kepada kawasan yang diwakili seperti kelaziman wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya. Mereka juga diberikan tugasan khusus dengan mandat dan restu Menteri Besar ke seluruh pelosok negeri Pahang.
Sebagai AL, Mohd Fadzly Mohd Ramli bertekad menjadikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform terbaik untuk menangkis tohmahan pembangkang serta mempertahankan dasar-dasar pro rakyat yang telah dibuat kerajaan negeri. Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY ada ceritanya.
Apakah perbezaan utama dalam tugasan AL dan ADUN yang dipilih rakyat?
Tugasan sebagai ADUN ini sama sahaja, iaitu untuk menjaga rakyat Pahang. Cuma kami ini tiada kawasan spesifik. Namun skop tugasan lebih besar kerana kami perlu membantu rakyat seluruh Pahang. Bagi saya, AL umpama duta kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kami diletakkan terus di bawah seliaan beliau.
Bagaimana YB melihat peranan AL dalam menyokong pentadbiran kerajaan negeri?
Kehadiran AL sangat penting kerana kebanyakan ADUN akan berkhidmat di kawasan masing-masing sahaja. Semasa di dalam sidang DUN, kebanyakan ADUN akan membawa dan membincangkan isu setempat. Berbeza AL kerana kami akan membahaskan isu-isu dasar kerajaan negeri, kerangka dan model pembangunan negeri tanpa terikat dengan tugasan kawasan seperti menjaga parit dan longkang.
Dalam masa sama, kami juga perlu menjaga segmen rakyat yang tidak diwakili seperti Orang Asli, bidang perundangan, masalah nelayan dan petani serta aspek pembangunan Islam negeri.
Apakah cabaran terbesar yang dihadapi AL?
Mereka mengatakan bahawa AL tidak perlu sebab sudah ada ADUN yang dipilih. Mereka (pembangkang) lupa apa yang berlaku di Sabah dan Terengganu. Pas melantik AL masing-masing di sana. Di Dewan Negara juga mereka ada wakil. Proses pelantikan juga sama kerana perlu dibawa ke sidang DUN.
AL sangat perlu untuk menonjolkan peranan kerajaan negeri dalam menyentuh isu pentadbiran dan dasar negeri ini di dalam sidang DUN. Pembangkang kebanyakan bercakap berkenaan kawasan masing-masing dan tidak ramai berbahas mengenai isu pentadbiran negeri dalam bidang kuasa kerajaan di peringkat perlembagaan seperti isu agama Islam dan tanah.
Bagaimana YB memastikan bahawa suara dan keperluan rakyat tetap didengar walaupun tidak mempunyai kawasan pilihan raya tertentu?
Peranan ADUN diberikan secara langsung oleh kerajaan negeri. Setiap ADUN ada bidang tugas seperti membangkitkan isu agama, undang-undang, pelaburan dan sosial rakyat serta integrasi kaum. Mereka tidak menjawab bagi pihak kerajaan tetapi mengangkat isu dan masalah.
Wujud suara yang menyindir bahawa YB adalah dari pintu belakang, bagaimana penerimaan YB terhadap kata-kata liar tersebut?
Ini adalah sifat talam dua muka sesetengah pihak di Pahang. Mereka perlu cermin muka masing-masing dengan apa yang berlaku di Sabah apabila Pesuruhjaya Pas Sabah dilantik sebagai AL dan Setiausaha Muslimat Pas Kuala Terengganu, yang juga dipilih menjadi AL.
Sehingga kini kita tidak mendengar apa suara mereka, apa peranan dan tugas mereka. Sedangkan AL Pahang telah menggegarkan sidang DUN Pahang baru-baru ini dengan pelbagai isu. Malahan saya turut membangkitkan isu perundangan syariah dan dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk dilaksanakan termasuk memperkasakan penguatkuasaan jenayah syariah. Untuk rekod, sebelum kemasukan kami ke sidang DUN Pahang, tiada wakil pembangkang menyentuh mengenai isu ini.
Bagaimana YB bekerjasama dengan ADUN yang dipilih oleh rakyat untuk mencapai matlamat bersama bagi pembangunan Pahang?
Setakat ini memang tiada masalah. Kami selalu turun ke seluruh pelosok Pahang untuk membantu, namun kami sangat menghargai dan memaklumkan ADUN kawasan yang dipilih untuk melaksanakan program bersama-sama demi kepentingan rakyat.
Apakah inisiatif atau projek utama yang telah dilaksanakan oleh YB sebagai AL untuk manfaat rakyat Pahang?
Ada beberapa perkara yang kami ditugaskan untuk membawa masalah rakyat di sidang DUN. Antaranya isu tanah iaitu tanah rezab Melayu, isu permohonan tanah dan subsidi petani. Selain itu, kami turut memperjuangkan isu Orang Asli yang tiada tanah. Kami juga turun membantu kerajaan negeri dalam bencana khususnya banjir baru-baru ini.
Malah sebagai AL, kami menjadi penghubung dengan kerajaan pusat terutama Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan. Ini berkebetulan kerana ia diwakili oleh menteri dari parti-parti yang diwakili oleh AL.
Peranan kami ini terbukti apabila banyak pembangunan dibawa ke Pahang seperti projek pendidikan di Tioman, Kompleks Bomba di Benta, pembanguna di Temerloh, ECRL dan peruntukan besar dari Kementerian Kesihatan iaitu di Hospital Tengku Ampuan Afzan yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini.
Bagaimana YB menilai keberkesanan peranan AL dalam sistem politik dan pentadbiran Pahang?
Peranan ini sangat penting kerana kami tiada halangan kawasan yang diwakili. AL bebas untuk ke seluruh negeri Pahang dengan mandat dan restu yang diberikan Menteri Besar.
Alhamdulillah kerajaan negeri juga menerima segala usaha yang diangkat AL untuk membantu rakyat dan mempertimbangkan segala masalah rakyat.
Baru-baru ini pendedahan YB yang ditohmah menjadi kafir bergema di dalam sidang DUN, apakah mesej yang YB cuba sampaikan?
Ia adalah satu isyarat kepada rakyat apabila agama diguna sebagai perisai untuk menghentam orang yang tidak sealiran pemikiran dengan mereka, maka tuduhan kafir dan murtad akan dikeluarkan setelah mereka gagal berhujah.
Kalimah murtad dan mengkafirkan orang yang tidak sealiran di dalam politik bukan boleh dibuat bergurau dan mereka jelas mengakui bahawa kalimah yang diucapkan itu sebagai gurauan sewaktu mengeluarkan tuduhan.
Sebagai orang Islam, perkataan murtad tidak boleh dibuat main kerana ia tidak diajar oleh Rasulullah untuk orang Islam yang lain. Sebenarnya saya yakin inilah kepercayaan sesetengah pengikut parti politik bahawa yang tidak ikut mereka terkeluar dari agama Allah.
Sedangkan baru beberapa hari saya jadi ADUN Parti AMANAH yang sulung di DUN Pahang, saya sudah bawa banyak teguran dan cadangan untuk mengangkat martabat Islam dan syariah di Pahang. Ia jelas berbeza dengan pembangkang kerana isu pelaksanaan undang-undang syariah ini langsung tidak disentuh secara langsung oleh mereka sebelum ini. – WILAYAHKU
[Iklan]