KEMENTERIAN Kewangan (MoF) menegaskan tuduhan bahawa orang asing akan mengambil alih menguasai lapangan terbang negara adalah tidak benar sama sekali.
Menurut kementerian itu, semua lapangan terbang negara kekal milik kerajaan sementara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berperanan sebagai operator atau pengendali lapangan terbang.
Selain itu katanya, aspek keselamatan tetap menjadi tanggungjawab agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Polis Diraja Malaysia.
“Ini termasuk kawalan keluar masuk warganegara asing yang kekal di bawah tanggungjawab Jabatan Imigresen dan pihak luar tidak boleh campur tangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab persoalan seorang pemimpin pembangkang yang berterusan mempersoalkan mengapa kerajaan masih meneruskan hasrat menjual 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing.
MoF menambah, kerajaan akan terus memegang saham khas atau golden share dalam MAHB.
Katanya, berdasarkan hak saham khas, hanya kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB.
Bahkan tegasnya, kedua-duanya mesti warganegara Malaysia.
“Oleh itu, selari dengan hasrat perjanjian konsortium ini, pengurusan MAHB tidak sama sekali akan diserahkan kepada rakan kongsi konsortium asing. Maka, tiada asas untuk mendakwa warganegara asing akan ambil alih pengurusan MAHB.
“Pendirian kerajaan adalah tegas dalam mempertahankan kepentingan pegangan dalam aset strategik negara. Dalam hal ini, Global Infrastrukture Partners (GIP) dilihat menepati syarat ditetapkan iaitu sedia untuk melabur, menjadi minoriti, menyumbang kepakaran dan melepaskan pegangan mereka dalam jangka masa yang sesuai,” katanya.
Jelas MoF, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP selaku rakan strategik asing dalam konsortium ini bakal membawa masuk pelaburan antarabangsa (FDI) yang berkualiti tinggi yang diperlukan bagi tujuan penambahbaikan tersebut di samping menawarkan kepakaran teknikal dalam pengurusan lapangan terbang yang boleh dimanfaatkan oleh pengurusan MAHB.
Terdahulu MoF menegaskan kerajaan menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menjual kepentingannya dalam MAHB.
Sebaliknya kata MoF, Khazanah dan KWSP akan meningkatkan pegangan mereka secara bersama daripada 41 peratus kepada 70 peratus selepas pengambilalihan ini dimuktamadkan dan kerajaan juga akan mengekalkan pegangan ssaham khasnya.
“Dengan pegangan majoriti ini, pelabur Malaysia akan memastikan sebarang usaha transformasi dan pelaburan yang dibuat oleh MAHB selepas ini adalah mengambil kira kepentingan negara.
“Baki 30 peratus kepentingan minoriti dalam konsortium ini pula dipegang secara bersama oleh ADIA, salah satu dana kekayaan berdaulat terbesar dunia dan GIP, pelabur infrastruktur dan pemilik serta pengurus lapangan terbang berpengalaman.
“Tawaran pengambilalihan ini adalah tertakluk kepada persetujuan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pemegang saham MAHB sedia ada,” katanya. – WILAYAHKU