PASUKAN Petugas ditubuhkan bagi memperincikan keperluan serta skop cadangan pelaksanaan Pusat Mediasi MADANI.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Petugas terdiri daripada pakar perundangan yang akan mengenal pasti skop dan bidang kuasa pusat ini, menentukan jenis kes yang boleh dirujuk dan mencadangkan parameter yang jelas dan komprehensif dalam menyelaraskan perkhidmatan mediasi di Malaysia secara keseluruhan.
“Empat peguam bela dan peguam cara telah dilantik sebagai ahli pasukan berkenaan iaitu Datuk Muhammad Adam Abdullah, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Shanti Abraham dan Gunavathi Subramaniam.
“Inisiatif penubuhan Pasukan Petugas ini diharapkan dapat memperkukuh landskap mediasi negara, memastikan perkhidmatan mediasi dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat, serta mencapai matlamat penyelesaian konflik yang adil, efektif dan harmoni untuk kebaikan bersama.
“Pasukan Petugas ini juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan berkaitan mediasi di Malaysia secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BHEUU turut memaklumkan, proses mediasi atau pengantaraan kini semakin mendapat perhatian sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang efektif dan cekap di Malaysia selain melibatkan kos yang lebih rendah berbanding litigasi dan timbang tara.
“Selain itu, mediasi turut membantu mengurangkan beban mahkamah dengan membolehkan pihak yang bertikai mencapai penyelesaian secara rundingan, dibantu oleh pihak ketiga yang neutral, iaitu pengantara (mediator).
“Namun, landskap mediasi semasa menghadapi beberapa cabaran seperti kurangnya koordinasi antara penyedia perkhidmatan, kesedaran awam yang rendah tentang manfaat mediasi, kekurangan program pembangunan kapasiti untuk pengantara serta tiada piawaian bagi latihan dan pentauliahan pengantara,” katanya.
Tambahnya, oleh yang demikian, penubuhan Pusat Mediasi MADANI diharap dapat menangani isu itu dan merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian secara aman di luar mahkamah.
“Diharapkan penubuhan tersebut dapat mengutamakan pendekatan rakyat-centric dalam perkhidmatan mediasi bagi menjamin akses keadilan yang lebih mudah dan saksama,” katanya. – WILAYAHKU