Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
BERBICARA tentang individu kerdil atau dwarfism, pasti kita membayangkan mereka yang bertubuh badan kecil dengan ketinggian kurang daripada 142 sentimeter (sm) yang tidak ubah seperti kanak-kanak biarpun hakikatnya sudah menginjak dewasa.
Jika dalam bidang perubatan, kerdil merupakan salah satu daripada 8,000 penyakit jarang jumpa (PJJ) yang dihidapi oleh populasi kecil di dunia. Golongan ini mengalami gangguan pertumbuhan tulang dan dicirikan oleh ukuran badan yang tidak seimbang dan terbantut.
Biarpun kekurangan dari segi fizikal namun tahap kecerdasan golongan ini tidak terjejas. Malah, mereka juga rata-ratanya berjiwa besar dan memiliki impian tinggi untuk berjaya seperti golongan normal yang lain. Di negara ini misalnya, kita dapat menyaksikan ramai individu kerdil yang berjaya menempa nama dalam bidang yang diceburi.
Misalnya dalam bidang sukan, jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin menjadi bukti tiada halangan untuk meraih kejayaan. Atlet berketinggian 132sm ini mencipta kejayaan dengan membawa nama Malaysia ke persada dunia.
Dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 lalu Bonnie yang merupakan Juara dunia 2023 kategori 72 kilogram (kg) berjaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri (231kg) di Tokyo dengan angkatan baru 232kg sekali gus mencatatkan rekod temasya yang baru.
Selain Bonnie, sekitar tahun 1950-an, dunia hiburan tanah air diserikan dengan kehadiran pelakon yang tidak asing lagi iaitu Allahyarham Ibrahim Hassan atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Pendek. Biarpun memiliki kekurangan dari segi fizikal namun beliau berjaya meletakkan diri sebaris seniman filem Melayu terkenal era itu.
Malah beliau juga menjadi pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem keluaran Hollywood bersama Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada tahun 1962.
Jelas di sini menunjukkan golongan kerdil ini tidak menjadikan kekurangan diri sebagai benteng untuk menempa kejayaan luar biasa. Namun di sebalik itu, kita sebagai insan yang normal perlu memainkan peranan penting untuk membantu mereka ke hadapan bukan menyisihkan golongan istimewa yang disifatkan satu dalam sejuta ini.
Hebatnya golongan ini biarpun kekurangan dari segi fizikal namun mereka ini tetap berusaha untuk meneruskan kehidupan dengan kudrat seterusnya bersaing dengan individu normal lain untuk mendapatkan pekerjaan.
Di negara ini, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) merekodkan seramai 1,200 orang kerdil yang mendaftar di bawahnya sudah mendapat kerja.
PKOKM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) dan diluluskan di bawah Akta 1963 pada 28 Mei 1984.
Menurut Presidennya, Jasmie Shafie berbanding 20 tahun lalu, keadaan kini banyak yang berubah dan golongan orang kurang upaya (OKU) kerdil juga turut ditempatkan dalam sektor awam mahupun swasta malah ada yang menjawat jawatan besar dalam industri.
“Asas penubuhan PKOKM bertujuan untuk membantu kumpulan sasar OKU kerdil dengan memberi latihan mengikut bidang-bidang yang diminati di samping mengenal pasti jumlah masyarakat kerdil di Malaysia.
“Keahlian yang ditawarkan terdiri daripada golongan orang kerdil berwarganegara Malaysia yang mana ketinggiannya tidak lebih 142sm bagi lelaki dan 138sm bagi wanita yang telah disahkan oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.
“Masyarakat kerdil adalah sebahagian daripada golongan OKU. Mereka perlu dibimbing bagi menghakis perasaan malu dan rendah diri supaya dapat berdikari dan secara tidak langsung bersaing dalam bidang yang diminati,” ujar beliau.
Tambah Jasmie, pertubuhan ini berperanan sebagai perantaraan kepada masyarakat kerdil yang berdaftar, membantu mencari peluang pekerjaan selain menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan pertubuhan.
“Kami sedar ada dalam kalangan OKU kerdil ini kadang-kadang buntu untuk mencari pekerjaan di tempat mereka. Sehubungan itu, saya meminta mereka yang mempunyai kekurangan ini, jangan malu dan tampilkan diri,” ujarnya yang juga merupakan individu kerdil.
