PERBADANAN Putrajaya (PPj) akan memulakan tempoh percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) selama tiga bulan bermula 13 Mei hingga 31 Julai ini.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, tempoh percubaan tersebut adalah bertujuan untuk memperhalusi spesifikasi unit ART selain mengenal pasti sebarang kemungkinan isu sebelum meneruskan latihan POC.
“Dalam masa sama, ia juga dilaksanakan untuk menilai dan menaksir prestasi serta kefungsian kenderaan ART melalui unit prototaip,” ujar beliau.
Fadlun berkata dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan iaitu laluan 1A yang akan beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari MRT Putrajaya Sentral menghala ke Lebuh Wawasan, Persiaran Perdana, Lingkaran Gemilang dan kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral.
“Manakala laluan kedua iaitu laluan 2B hanya beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad akan turut bermula dari MRT Putrajaya Sentral ke Persiaran Perdana, kemudian menghala ke Lebuh Bestari, Persiaran Timur dan IOI Putrajaya sebelum kembali ke MRT Putrajaya Sentral.
“Sebanyak tiga trip disediakan pada setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Tiada bayaran akan dikenakan kepada penumpang, orang awam yang ingin mencuba pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang,” ujarnya.
Beliau berkata projek rintis itu adalah merupakan usaha pihaknya bagi mengetengahkan ART sebagai salah satu mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada. Selain untuk kegunaan orang awam, ART juga bertujuan menyokong sektor pelancongan Putrajaya.
“ART menggunakan teknologi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) iaitu syarikat pengeluar utama sistem dan komponen rel di dunia selain boleh menampung seramai 239 orang penumpang pada waktu biasa sehingga 307 orang pada waktu puncak.
“Di samping itu, ART tidak bergantung kepada bahan api lain kerana menggunakan teknologi EV sepenuhnya.
“Jangan lepaskan peluang untuk rasai pengalaman menarik dengan menaiki pengangkutan terbaharu di Putrajaya sepanjang tempoh pengujian ini secara percuma.
“Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian ART sepanjang tempoh percubaan ini akan dimuat naik di laman sesawang dan laman media sosial rasmi PPj,” ujar beliau.
Sebagai rekod, trem ART berkuasa hidrogen pertama dunia dibangunkan oleh CRRC Zhuzhou Institute Co. Ltd. telah tiba di Sarawak pada Ogos 2023.
Mempunyai kelebihan jarak memandu lebih panjang dan masa pengisian semula lebih pendek serta penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar, trem pintar itu boleh bergerak sehingga 245 kilometer dalam satu cas hidrogen. – WILAYAHKU