JUMLAH transaksi melibatkan perkhidmatan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ atau ‘buy now, pay later’ (BNPL) meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia menyaksikan peningkatan ketara berbanding separuh pertama 2024 dengan RM4.9 bilion.
Menurut beliau, setakat akhir Disember lalu, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif.
“Majoriti pengguna BNPL terdiri daripada golongan yang berusia antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.
“Pada masa ini terdapat 12 syarikat yang menawarkan skim BNPL di negara ini,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan BNPL.
Amir Hamzah berkata, bagi meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di negara ini, Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama bagi Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) di Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu.
Katanya, RUU ini dicadangkan untuk dibentangkan pada mesyuarat yang akan datang.
“RUUKP ini akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.
“Ia antaranya syarikat yang menawarkan BNPL, syarikat pajakan (leasing) dan pemfaktoran (factoring) serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas (impaired loan buyers), agensi pengutipan hutang (debt collection agencies) dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang (debt counselling and management agencies),” katanya.
Jelas beliau, pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dikehendaki mematuhi kepada keperluan pelakuan (conduct requirements) bagi memastikan mereka mengamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab serta adil bagi melindungi pengguna kredit.
Ini katanya, termasuk melakukan penilaian kemampuan berhutang (affordability assessment) terhadap pengguna kredit.
“Penilaian ini merujuk kepada kemampuan membayar balik hutang setelah mengambil kira semua komitmen kewangan, corak perbelanjaan dan sejarah pembayaran hutang bakal peminjam.
“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti yang ditetapkan termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit yang adil dan memberi peringatan yang kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya RUU itu diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan. – WILAYAHKU