Berita

Tragedi lemas: Keluarga reda dengan pemergian anak bongsu

KANAK-KANAK berusia sembilan tahun ditemukan lemas di dalam tali air Kampung Gelam, Tanjung Keling. Kredit foto oleh: Mstar KANAK-KANAK berusia sembilan tahun ditemukan lemas di dalam tali air Kampung Gelam, Tanjung Keling. Kredit foto oleh: Mstar
- Diterbit 19 Mei 2021 6:54 AM MYT

WALAUPUN ramai yang kata anak saya selamat ketika pencarian dilakukan di darat, tapi firasat hati saya lain sangat. Malah sepanjang saya naik motosikal cari dia, mata asyik terpandang dalam tali air. Rasa masa tu Azhan ada,” kata Rohana Sukiman, 43.

Rohana merupakan ibu kepada arwah Badrol Azhan Nizam Bachik, 9, yang ditemukan lemas di dalam tali air di Kampung Gelam, Tanjung Keling kira-kira 9.35 pagi tadi.

Beliau yang ditemani suami, Bachik Bakar, 48, ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini berkata, beliau hanya mengetahui kejadian tersebut melalui group WhatsApp kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anaknya semalam.

“Saya terus pergi rumah Muhammad Fakhrullah dan kembarnya Muhammad Fakhruddin sebab mereka satu kelas di sekolah yang sama.

“Lagipun arwah memang cakap nak keluar dalam pukul 3 petang dan tak pelik sebab memang petang-petang dia akan keluar naik basikal dan balik sebelum maghrib, tapi semalam tak balik,” katanya.

Bercerita lanjut, Rohana menjelaskan anak bongsu daripada empat beradik itu memang manja dan pandai mengambil hati di samping sangat rapat dengan sepupunya, pasangan kembar Muhammad Fakhrullah dan Muhammad Fakhruddin.

“Dia selalu cium-cium saya, cakap Azhan sayang mak. Dia paling suka minum air milo dan roti,” katanya sambil ditenangkan suaminya.

Sementara itu ayah kepada Muhammad Fakhrullah, Rozami Mat Hassan, 47, berkata beliau tidak menyangka kegembiraan anak bongsu daripada enam beradik itu menemaninya berkebun petang semalam berakhir dengan tragedi.

“Selepas beberapa jam, saya mengajaknya pulang ke rumah kira-kira 500 meter dari kebun untuk makan tengah hari dengan Muhammad Fakhrullah makan nasi seperti biasa berlaukkan ikan goreng selain turut berselera menjamah pau yang dihidangkan,” katanya.

Pesara tentera itu berkata beliau kemudiannya masuk ke bilik untuk berehat sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan orang kampung memaklumkan Muhammad Fakrullah lemas di tali air ketika bermain di kebun bersama Fakhruddin dan Badrol Azhan Nizam.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus bergegas ke kebun dan waktu itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan memikirkan nasib anak-anak dan Badrol Azhan Nizam yang sudah saya angggap seperti anak sendiri.

“Sebaik tiba di kebun, saya lihat Muhammad Fakhruddin berdiri di tepi tali air menunjukkan tempat adiknya lemas sambil memberitahu Badrol Azhan Nizam sudah berlari ke arah rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anak.

“Tidak lama kemudian, saya berjaya mengangkat arwah Muhammad Fakhrullah yang sudah lembik dan kebiruan-biruan. Dalam keadaan cemas saya cuba memberikan bantuan pernafasan namun tidak berjaya.

“Saya kemudian terus membonceng arwah menuju ke Klinik Kesihatan Tanjung Kling sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam selepas solat zohor. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas