Berita

Tonik cipta kejayaan

AZNIL harap tuah dalam kategori baru
- Diterbit 27 September 2024 6:44 PM MYT

ATLET angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin mengharapkan tuah selepas bertukar ke kategori 67 kilogram (kg) apabila berjaya memenangi pingat emas di Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Fiji baru-baru ini.

Dia yang bertukar kategori dari 61kg pada April lepas itu berharap ia mampu dijadikan tonik buat dirinya untuk meraih pingat emas di Sukan Komanwel 2026 dan kedudukan podium di Sukan SEA Thailand 2025.

“Sebelum ini saya memang pernah sertai kategori 67kg, tetapi ini merupakan kali pertama saya beraksi untuk kategori ini di peringkat antarabangsa.

“Kalau boleh, saya juga nak dapat pingat emas di Komanwel dan pingat di Sukan SEA tahun depan dalam kategori 67kg,” ujarnya.

Terdahulu, atlet berusia 30 tahun itu meraih emas di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Fiji bagi kategori 67kg selepas mengangkat bebanan keseluruhan berjumlah 300kg.

Lebih manis, angkatan dilakukannya itu berjaya memecahkan rekod miliknya iaitu 295kg yang dilakukan di kejohanan kelayakan Sukan SEA pada tahun 2022.

Dalam pada itu, Aznil berkata dia gembira dengan peluang diberikan oleh barisan kejurulatihan untuk kembali bertanding dalam acara kegemarannya itu.

Meskipun mengakui berdepan cabaran dalam menyesuaikan diri dengan kategori baharunya, namun dia optimis mampu melakukannya dengan lebih baik terutama menjelang Kejohanan Dunia di Bahrain Disember ini.

“Dari segi cabaran memang ada sebab saya kena berlatih lebih sikit. Sebab apabila naik kategori, angkatan sudah tentu lagi berat.

“Tapi saya harap di kejohanan dunia nanti mampu beraksi lebih baik dan pecah rekod kebangsaan sekali lagi,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas