Artikel

Tolonglah berhenti merokok!

LIMA juta orang atau 22.8 peratus daripada populasi berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. - Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mei 2024 10:50 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SAYA fikir ada dalam kalangan pembaca juga kerap terperangkap dalam keadaan begini; ketika sedang berselera makan tiba-tiba pelanggan di meja sebelah atau berdekatan mula merokok. Asapnya berkepul-kepul menerawang dan sebahagiannya menerpa ke muka kita.

Tentu sahaja hal itu membuatkan kita berada dalam keadaan serba salah. Hendak ditegur bukan lagi budak-budak remaja, tetapi kalau tidak ditegur kita pula lemas dan mual dalam kepulan asap rokok.

Padahal di setiap penjuru dan dinding premis makanan ada dilekatkan peringatan ‘Dilarang merokok.’ Kalau mereka itu cuba meletakkan diri di tempat orang lain, terutama yang alah asap rokok, tentu tidak tergamak membantutkan selera orang menikmati makanan dengan asap rokok.

Ramai dalam kalangan wanita dan terutamanya kanak-kanak alah dengan asap rokok. Ada yang dengan tiba-tiba sahaja terbatuk sebaik sahaja tersedut asap rokok sekalipun dari jarak yang agak jauh. Orang yang sedemikian memang bukan mengada-ngada terhadap perokok.

Langkah pertama menjadi orang yang baik adalah cuba memahami keadaan orang di sekeliling. Pengamatan seperti itu membolehkan kita memahami kelemahan dan kelebihan seseorang. Dengan memahami orang lain, peranan kita pula adalah berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan di sekeliling.

Kalau perokok tegar sekalipun, boleh sahaja memperlihatkan prihatin terhadap orang di sekeliling. Tidak merokok di depan orang yang tidak dipastikan sama ada perokok atau tidak. Satu lagi tidak berbangga dengan perbuatan yang tidak baik – mustahil masih tidak faham yang rokok itu membawa kemudaratan.

Seingat saya belum ada kelonggaran untuk merokok di mana-mana tempat makan – tidak kira restoran lima bintang atau warung di tepi jalan. Semua premis itu dilarang merokok sama sekali termasuk kawasan rawat dan rehat (R&R) di lebuh raya.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan pernah mengarahkan jarak merokok sekurang-kurang tiga meter dari premis makanan atau kelompok orang awam. Tetapi kini sudah banyak yang merokok dengan selamba di tempat-tempat tersebut. Peraturan dulu yang baik untuk semua seolah-olah terhenti di tengah jalan.

Suatu waktu dulu ketika Dr Zulkifly Ahmad menjadi Menteri Kesihatan, beliau mengarahkan larangan merokok di premis makanan. Hanya dibolehkan merokok sekurang-kurang tiga meter dengan premis berkenaan. Ketika itu banyak yang patuh sekalipun ada suara-suara mempersenda arahan berkenaan.

Sikap individu yang merokok di premis awam seperti itu sebenarnya telah mengambil hak golongan yang menjauhkan diri daripada asap rokok. Tetapi dengan longgarnya penguatkuasaan, hak golongan majoriti menolak rokok pula diambil oleh minoriti yang suka pada rokok.

Merokok memang hak peribadi. Hal itu semua orang tahu. Sekalipun begitu status sebagai hak peribadi itu dengan sendirinya gugur apabila dilakukan di tempat awam – tidak kira sama ada premis makanan atau tempat-tempat lain. Tidak ada lagi hak peribadi untuk perokok.

Apa lagi perbuatan itu sendiri membawa kemudaratan kepada orang di sekeliling. Hak peribadi untuk merokok hanya ketika duduk seorang diri di satu kawasan yang jauh daripada orang lain. Di rumah pun tidak boleh kerana tidak semua dalam premis itu suka pada rokok.

Arahan melarang merokok di premis awam seperti sebelum ini sebenarnya suatu yang sangat dialu-alukan. Suatu langkah yang baik untuk membebaskan orang ramai daripada dicemari asap rokok. Langkah itu bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya sangat baik untuk kepentingan umum.

Saya memerhati kebanyakan perokok seolah-olah memiliki pakej dengan sikap buruk – melempar puntung rokok di merata tempat, lempar atas lantai kemudian pijak dan biar di situ sahaja atau memasukkan dalam gelas atau cawan di atas meja. Sebenarnya kelakuan sedemikian mencerminkan sikap dalam kalangan yang memilih hidup dengan rokok.

Orang lain jadi mangsa

Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 20,000 rakyat negara ini meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berpunca daripada tabiat merokok.

Memanglah tidak ada yang mati akibat merokok secara langsung seperti terminum racun. Hal itu menunjukkan rokok memberikan kesan yang buruk kepada manusia.

Mungkin ada yang bertanya, kalau benar membawa kerosakan, kenapa rokok tidak diharamkan? Kenapa rokok boleh dibeli dengan mudah seperti kanak-kanak membeli gula-gula? Hal itu biarlah dibahaskan di forum atau di pentas yang lain. Perkara yang penting untuk diingat adalah keburukan rokok difahami di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja.

Lima juta orang atau 22.8 peratus daripada populasi berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. Golongan itu membuat pilihan menjadi perokok selepas ‘khatam’ dengan semua nasihat didaktik dalam kempen anti merokok sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Hingga sampai pada satu tahap kempen anti merokok pula yang perlu diharamkan. Sebabnya kempen itu lebih membazirkan wang rakyat berbanding faedah yang sepatutnya. Kempen itu dianggap membazir apabila tidak memberi kesan kepada generasi yang belum kenal rokok yang kemudian menjadi perokok tegar.

Sejak negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad dulu, kempen anti merokok tidak pernah mencapai kejayaan. Salah satu sebabnya tujuan berkempen tidak lebih sebagai ritual, sama seperti ritual sambutan ulang tahun kemerdekaan yang disambut dengan jiwa yang terjajah.

Sudah begitu banyak wang rakyat digunakan untuk kempen anti merokok tetapi tidak ada kesannya, yakni angka perokok tidak berkurang. Yang untung adalah mereka yang mendapat upah membuat kain rentang, billboard dan iklan dalam media cetak dan elektronik untuk kempen anti merokok.

Kenapa tidak haramkan sahaja rokok? Mana boleh dan tidak akan boleh. Untuk mengetahui lanjut kenalah bertanya kepada pihak yang arif. Mereka mungkin ada jawapan kenapa rokok terus dibenarkan sekalipun tidak ada sedikitpun kebaikannya.

Disebabkan perokok, kerajaan terpaksa membelanjakan tidak kurang RM3.8 bilion setahun untuk merawat penyakit yang disebabkan rokok. Duit itu dikutip daripada cukai termasuk golongan yang sangat alah dengan rokok. Kalau pesakit berkenaan bukan perokok, ada kemungkinan mereka adalah salah seorang yang terdedah pada asap rokok atau environmental tobacco smoke (ETS).

Merokok bagi sesetengah orang adalah gaya, keunggulan dan kemodenan. Tidak merokok bermakna tidak bergaya dan tidak moden. Kerana itu tidak hairanlah kalau jumlah perokok kita meningkat 49 peratus daripada 3.1 juta orang pada tahun 2007 kepada 4.7 juta tahun 2011. Sekarang khabarnya sudah mencapai lima juta orang.

Kadar itu sudah mengatasi peningkatan perokok di negara maju seperti Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus). Kita tidak mahu Malaysia terkenal dengan rekod ‘kecemerlangan’ yang seperti ini. Maka kepada sekalian para perokok, tolonglah berhenti merokok.

Sekalipun merokok itu adalah ‘gaya, keunggulan dan kemodenan’ berkorbanlah demi ahli masyarakat lain yang tidak berdosa turut terancam kesihatan mereka. Semoga ‘pengorbanan’ yang besar itu dibalas dengan kesihatan yang baik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas