PELBAGAI fitnah telah dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang dibatalkan pada tahun 2022.
Di laman sosial, netizen menuduh Anwar membatalkan projek tersebut kerana ingin memberi laluan kepada projek parti DAP di Pulau Pinang yang bernilai RM10 billion.
Tuduhan tersebut dilihat tidak berasas sama sekali kerana projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur mengikut jadual, walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula.
Anwar berkata, keputusan membatalkan beberapa projek dibuat ketika itu kerana Kerajaan MADANI menolak amalan rundingan terus yang disifatkan beliau mempunyai asas yang cukup lemah.
“Setakat ini, melainkan satu di Terengganu, jika tidak salah saya, (projek) yang lain memang masih ikut jadual. Ia tidak (mengganggu).
“Adakah ada bukti ada upaya menyelamatkan dana? Ya, kita ada rekod bahawa dalam rundingan terus dengan proses tender, memang kita selamatkan dana besar daripada yang diperuntukkan sebelumnya.
“Jadi, saya nak bagi jaminan, janganlah ini akan menyebabkan kelambatan tapi proses penilaian teknikal oleh kementerian dan penilaian kewangan oleh Kementerian Kewangan itu harus dipatuhi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai sama ada terdapat bukti penyelewengan dalam proses tender projek tebatan banjir yang dibatalkan sebelum ini dan apakah keputusan membatalkan tender serta tender semula projek itu menjejaskan garis masa persediaan untuk menangani banjir besar.
Terkini, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada kira-kira 90,000 orang di lapan negeri dengan Kelantan masih merekodkan jumlah tertinggi kira-kira 55,000 mangsa. – WILAYAHKU