KERAJAAN bersetuju memberikan tol percuma sempena sambutan perayaan Hari Deepavali iaitu pada 29 dan 30 Oktober ini bagi membolehkan pengguna lebuh raya terutama masyarakat India untuk menyambut perayaan itu dalam suasana gembira dan harmoni.
Pemberian tol secara percuma itu akan dilaksanakan di ke semua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam Selasa (29 Oktober) dan berakhir jam 11.59 malam Rabu (30 Oktober).
Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta itu akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuaIi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.
‘Pemberian tol percuma adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
‘Pengguna lebuh raya bagaimanapun dinasihatkan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan iaitu dengan mengikut jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuhraya,’ katanya.
Selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik, Alexander turut menasihati pengguna lebuh raya memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go, dan bateri smart-tag yang mencukupi.
Pengguna lebuh raya boleh menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di https://www.llm.gov.my mengenai keadaan lebuhraya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
Selain itu pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya serta menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di laman facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, LLM dan semua syarikat konsesi lebuh raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,’ katanya. – WILAYAHKU