KERAJAAN melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu telah bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan pemberian tol percuma tersebut bermula pada 11 November (Sabtu) pukul 12.01 pagi sehingga 12 November (Ahad) pukul 11.59 malam.
“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ni.
Menurut Alexander, pemilihan tarikh itu juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar dengan anggaran trafik bagi kedua-dua hari sebanyak 11.8 juta kenderaan.
“Ia juga diharap dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.
“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan, ” jelasnya.
Tambah Alexander, aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat.
“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.
“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” katanya. – WILAYAHKU