Berita

Tokan dadah pusat-pusat hiburan Lembah Klang ditahan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 28 November 2024 12:30 PM MYT

POLIS menahan seorang lelaki disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) kepada pengunjung pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek yang juga lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu ditahan di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Menurut beliau, polis menemukan dadah jenis MDMA dan ketamin pada kenderaan dipandu suspek.

“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas tangkapan, polis percaya suspek terlibat kegiatan pengedaran dadah MDMA ke pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methampetamine, ampetamine, ketamin dan benzo,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sulizmie memberitahu, semakan rekod mendapati suspek tidak pernah ditahan atas mana-mana kesalahan dadah dan jenayah sebelum ini.

Namun katanya, suspek dipercayai baru bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran sejak pertengahan tahun ini.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, seorang lelaki berusia 48 tahun yang mempunya 20 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah ditahan di Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan polis merampas dadah jenis heroin dan suspek dipercayai aktif dalam penyalahgunaan serta pengedaran dadah berskala kecil di kawasan Jalan Petaling.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 38B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas