KEMENTERIAN Pertahanan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara tetap terjamin.
Kementerian Pertahanan memberitahu strategi pertahanan maritim Malaysia tertumpu kepada aspek pengawasan, kehadiran aset tentera, kerjasama antarabangsa serta pemodenan sistem pertahanan.
“Dalam hal ini, fokus pertahanan maritim di perairan Selat Melaka merangkumi aspek seperti keselamatan perdagangan dan laluan perkapalan, menangani jenayah maritim, kerjasama serantau dan latihan ketenteraan bersama.
“Fokus Pertahanan Maritim di Laut China Selatan pula berbeza dengan Selat Melaka kerana Laut China Selatan lebih kompleks dari sudut geopolitik kerana wujudnya pertindihan tuntutan maritim antara Malaysia, China, Vietnam, Filipina, dan Brunei,” ujarnya.
Terdahulu, kementerian itu menjawab soalan berkenan fokus pertahanan maritim di Perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan dan sejauh manakah TLDM menangani ancaman dan provokasi penguatkuasaan di kawasan pertindihan sempadan negara.
Tegasnya, keutamaan TLDM di kawasan ini merangkumi kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM), menangani provokasi kuasa asing, penggunaan aset strategik untuk pengawasan serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Pihak TLDM telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani cabaran keselamatan maritim di kawasan pertindihan sempadan seperti peningkatan kehadiran dan rondaan, pendekatan Soft Power dan diplomasi ketenteraan, pemodenan aset dan teknologi pertahanan serta kerjasama dengan agensi tempatan dan serantau.
“Secara keseluruhannya, TLDM memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu terus melabur dalam aset ketenteraan bagi memperkasakan keupayaan pertahanan maritim untuk menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks,” ujarnya dalam jawapan bertulis. – WILAYAHKU