INDUSTRI tuna khususnya di Labuan merupakan sumber kekayaan baharu yang perlu diteroka secara bersepadu. Dengan lokasinya yang strategik di Laut China Selatan, Labuan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan global yang semakin meningkat untuk tuna. Bagaimanapun masa depan industri ini di Labuan akan bergantung pada sejauh mana ia dapat mengharungi cabaran dengan berkesan dan memanfaatkan peluangnya.
Kedudukan geografi Labuan menawarkan akses terus ke beberapa kawasan perikanan terkaya di Laut China Selatan. Perairan ini memiliki beberapa spesies tuna antaranya sirip kuning, sirip biru mata besar, dan skipjack yang sangat bernilai di pasaran antarabangsa. Dengan limpahan sumber ini, ia sewajarnya mampu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya tarikan pulau itu sebagai pangkalan untuk menangkap ikan tuna dan aktiviti pemprosesan termasuklah aktiviti hiliran.
Di sebalik permintaan global untuk tuna yang semakin meningkat serta didorong oleh popularitinya sebagai sumber protein yang sihat dan peningkatan selera untuk sushi dan sashimi di pasaran Barat, Labuan sewajarnya mampu memenuhi permintaan tersebut namun terdapat beberapa kekangan yang perlu di atasi sebelum industri ini benar-benar boleh berkembang di pulau itu.
Menerusi tinjauan wartawan Wilayahku yang berkesempatan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam industri ini, beberapa isu yang memperlahankan perkembangan industri berkenaan perlu ditangani secara bersepadu agar dapat meniupkan ‘roh’ terhadap pemain industri yang dilihat semakin ‘nazak’.
PASARAN SETEMPAT
Tidak dinafikan bahawa kerajaan menerusi agensi berkaitan telah menyediakan infrastruktur dan prasarana untuk membantu pengendalian tuna dalam setiap peringkat terutama dari golongan nelayan, pengusaha produk hiliran sehinggalah kepada pemasaran.
Menurut Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah Persekutuan Labuan, Fadhilah Azib, kapasiti penangkapan nelayan tuna di Labuan pada ketika ini hanyalah kira-kira 25 tan sebulan dan ia hanyalah untuk pasaran setempat sahaja.
“Kita bukanlah hendak kata industri ini malap, tetapi LKIM tidak fokus kerana ia lebih kepada bidang kuasa Jabatan Perikanan Labuan. Walaupun LKIM menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk pendaratan tuna di Kiamsam, namun sehingga kini nelayan enggan menggunakan kemudahan itu kerana dakwaan tidak sesuai dan tidak selamat.
“Sebenarnya tiada isu melibatkan keselamatan kerana bot nelayan tradisi boleh juga mendarat di Kiamsam. Alasan yang dikemukakan kerana lokasi di bandar itu lebih dekat dengan pasar dan juga pemborong. Jadi kita sudah ada libat urus dengan mereka dan dinasihatkan untuk ke Kiamsam. Namun apa yang dibangkitkan itu seperti jarak yang agak jauh menjadi isu utama.
“Namun kita masih mencari solusi untuk kemudahan dan keselesaan nelayan tuna ini contohnya seperti mereka hendakkan pembeli datang dan terus ambil ikan di Kiamsam tanpa mereka perlu menunggu pelanggan atau peraih,” katanya.
Fadhilah berkata setakat ini, pemain industri yang terlibat hanya satu sahaja iaitu Labuan Food Industries yang bertindak mengesport tuna selain LKIM merintis matching program bersama nelayan tuna bagi membeli terus hasil tangkapan mereka.
“Ia masih dalam perbincangan dan LKIM hanyalah pemudah cara untuk semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada nelayan dan pemancing tuna, peraih dan kami menyediakan infrstruktur serta kemudahan yang berkaitan,” katanya.
Menurut Fadhilah, persatuan nelayan tuna memohon untuk mendaratkan hasil tangkapan di kawasan sedia ada, namun kerajaan telah sediakan peruntukan yang besar untuk menyediakan jeti pendaratan ikan yang bersepadu di Kiamsam dan LKIM tidak boleh menyokong kerana kemudahan yang disediakan itu sudah memadai.
“Kami juga sedang mengusahakan untuk menjadikan jeti itu sebagai pusat pengumpulan tuna serta sedang memohon untuk membangunkan bilik sejuk beku bagi tujuan penyimpanan tuna tanpa perlu khuatir hasil tangkapan rosak sebelum dibeli peraih.
“Sekarang ini, mereka tiada tempat simpanan, malah jika ia disimpan lebih lama, tuna akan rosak dan mereka terpaksa menjual meskipun pada harga yang lebih murah sehingga terpaksa menanggung kerugian,” katanya.
Tambah beliau, tiada istilah pengurangan atau kemerosotan tangkapan dan ia tidak berlaku cumanya ia melibatkan pengurusan dan segmen pasaran sahaja.
PERTINDIHAN TUGASAN ANTARA AGENSI
Pertindihan tugasan antara agensi berkait dengan pembangunan industri tuna turut menjadi punca ia menjadi perlahan dan hampir tidak bermaya. Menerusi semakan dalam laman web Jabatan Perikanan, mereka mempunyai Seksyen Pembangunan Tuna dan memperolehi peruntukan terus daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Daripada semakan itu juga, sewajarnya industri tuna khususnya di Labuan perlu lebih bertenaga berikutan sumber yang ada padanya tidak terhad kepada musim-musim tertentu seperti di beberapa kawasan yang lain.
Menurut Fadhilah, usaha memajukan industri tersebut telah dirintis kerajaan seperti menubuhkan pusat inkubator tuna malah ada usahawan yang tampil dengan produk-produk hiliran seperti sate tuna, burger tuna dan serunding tuna,
“Cumanya mereka ini berdepan dengan masalah pemasaran maksudnya tiada permintaan yang menggalakkan sebab produk itu tidak boleh keluar dari Labuan.
“Perkara ini pernah dibincangkan semasa sesi townhall bersama Menteri Pertanian sebelum ini, pengusaha burger tuna dalam sesi itu menyuarakan mengenai kerajaan meminta pengusaha mengeluarkan produk-produk hiliran tetapi apabila untuk pemasaran, kementerian tidak membantu,” katanya.
Jelas beliau, produk-produk ini tidak boleh dipasarkan secara meluas kerana tidak menepati spesifikasi bermula daripada proses pengendalian bahan mentah sehingga ke peringkat pembungkusan.
“Apabila tuna ini ditangkap, proses pengendaliannya tidak menepati standard atau piawaian antarabangsa, jadi apabila ia diproses dan keluar menjadi produk, ia tidak boleh dipasarkan secara meluas dan hanya memenuhi pasaran setempat sahaja dan lebih tepatnya untuk Labuan sahaja.
“Satu lagi masalah yang dihadapi adalah logistik, untuk menghantar ikan sejuk beku ke Semenanjung, ia agak sukar kecuali ada pelabur dan pemain industri yang memang mempunyai fokus untuk memasarkan hasil tuna ke pasaran luar,” katanya.
SATE TUNA
Menurut beliau, industri tuna ini tidak boleh bergerak secara perusahaan kecil dan sederhana (SME), sebaliknya ia perlu dilaksanakan menerusi francais dengan kerjasama syarikat besar bertaraf konglomerat yang memainkan peranan sebagai peraih atau pengilang yang mempunyai penarafan.
“Apabila orang-orang kampung yang menghasilkkan produk secara kecil-kecilan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh kilang, mereka menghantar semula kepada kilang untuk dibungkuskan mengikut kaedah pengeluar peralatan asli (OEM) dan ia akan mempunyai pelbagai produk berkaitan tuna dan berkemungkinan mampu untuk mengubah landskap industri tuna di Labuan.
“Contohnya, seorang usahawan mempunyai resipi sate tuna, LKIM sediakan tempat pemprosesan dan syarikat terlibat akan menentukan standard yang ditetapkan serta melakukan pembungkusan dan pasarkan ke seluruh negara.
“Jika hendakkan standard sate tuna tempatan secara perseorangan, saya lihat ia hanya sekadar memenuhi keperluan setempat sahaja. Seperti ada pengusaha tempatan yang berjualan di Kompleks Sukan Air, dalam hari-hari biasa pengusaha itu mampu menjual dari 100 hingga 200 cucuk satu malam namun sekiranya ada acara besar, jualannya mampu meningkat sehingga 500 cucuk dan ia sekadar itu sahaja,” katanya.
Fadhilah berkata, permintaan tuna bagi tujuan eksport juga tidak mencukupi bahkan untuk memenuhi permintaan di semenanjung juga tidak mencukupi.
“Jadi kita sedang mengisi kelompongan itu dan sedang berbincang dengan nelayan tuna di sini berikutan mereka tidak mahu menanggung risiko untuk memancing lebih banyak tuna kerana khuatir tiada tempat penyimpanan serta tiada pembeli.
“Tidak seperti nelayan di Semporna yang mempunyai vessel yang agak besar, nelayan di sini enggan mengeluarkan modal yang besar kerana tidak mempunyai kapasiti di bahagian segmen pesaran kerana tidak mahu menanggung risiko kerugian sekiranya tiada pembeli,” katanya.
Sementara itu, Fadhilah berkata pihaknya sedang merangka pelan tindakan supaya syarikat yang dikenal pasti mengambil tuna daripada nelayan mengikut spesifikasi untuk dieksport selain mereka juga boleh menjadi pemborong dan pembekal untuk pasaran luar.
“Langkah ini perlu diambil kerana mereka turut mengenali pemain industri yang lain cuma kita yakin untuk majukan nelayan tuna ini untuk bergerak lebih jauh ke hadapan, ia lebih kepada penentuan pasaran kerana tiada tempat penyimpanan stok,” katanya. – WILAYAHKU