MENAWARKAN lelongan kenderaan yang tidak wujud, tipu untuk bebaskan tahanan dalam lokap, tipu urusan pajak gadai dan menipu urusan perniagaan durian.
Demikian kes-kes penipuan dilakukan di beberapa negeri oleh seorang lelaki yang juga penganggur berusia 31 tahun termasuk tipu berkenalan serta berjanji untuk berkahwin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan berjumpa secara bersemuka kemudian meminta mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun peribadi miliknya.
“Ekoran daripada siasatan ke atah tujuh kes penipuan yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor telah menangkap seorang lelaki pada 1 Januari lalu.
“Suspek dipercayai terlibat dalam penipuan menawarkan jual beli kereta lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak wujud dan menyamar sebagai pihak berkuasa bagi membebaskan tahanan dalam lokap,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Hussein berkata, suspek telah dituduh bagi tiga kertas siasatan iaitu pada 16 Januari lalu di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan telah mengaku salah dengan bayaran denda.
Katanya, pertuduhan kedua pada 17 Januari di Mahkamah Gombak pula di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, suspek mengaku salah dan membayar denda.
Jelas beliau, bagi pertuduhan ketiga pada 24 Januari, suspek mengaku salah dan sedang menjalani hukuman penjara selepas dituduh di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Seterusnya suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, esok, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Suspek jugak terlibat dengan kes sama iaitu masing-masing satu kes di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.
Untuk itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan menawarkan sebarang urusan jual beli secara bersemuka atau dalam talian.
“Sentiasa buat semakan dan pengesahan tentang kewujudan tawaran tersebut dengan agensi-agensi berkaitan,” tambahnya. – WILAYAHKU