Berita

Tingkatkan celik digital, didik rakyat guna media sosial

TEKNOLOGI bergerak pantas dan pemantauan berterusan adalah satu keperluan
- Diterbit 9 Ogos 2024 9:00 AM MYT

PEMBANGUNAN platform media sosial ciptaan Malaysia memerlukan objektif jangka panjang jelas dengan pelaburan infrastruktur teknologi, pakar dan keselamatan digital serta siber.

Pensyarah Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shafizan Mohamed berkata semua faktor tersebut perlu diambil kira jika mahu membangunkan media sosial ciptaan Malaysia yang unik dan sesuai dengan tempatan.

Menurut Shafizan, ianya agar menjadi sebuah platform alternatif bukan pengganti kepada platform media sosial sedia ada masa kini yang mampu menarik orang ramai untuk menggunakannya.

“Jika dapat dilaksanakan, platform terbabit bukan sahaja boleh berjaya di peringkat tempatan malah ia juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan taraf teknologi di negara.

“Walau bagaimanapun, pelaburan yang sangat besar serta kepakaran digital yang berterusan, perlukan alatan canggih serta kestabilan kewangan untuk negara terus bersaing dalam dunia teknologi ini,” katanya kepada Wilayahku.

Baru-baru ini media melaporkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.

Fahmi berkata ini kerana ada antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun pada masa sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.

Jelas Shafizan, media sosial adalah bidang yang sangat kompetitif, platform sedia ada seperti Facebook, X dan Instagram sudah mendominasi pasaran di peringkat global.

“Disebabkan itu, ia memberi cabaran yang tinggi kepada pemain baharu atau pemain-pemain industri tempatan untuk bersaing atau menembusi pasaran sedia ada,” jelasnya.

Bagaimanapun Shafizan berkata banyak manfaat yang boleh diperoleh negara jika mampu menghasilkan platform media sosial sendiri.

“Antaranya platform tersebut akan mengikut perundangan negara, data privasi pengguna lebih terjamin, promosi kebudayaan negara yang sesuai dengan masyarakat kita, boleh mengawal penggunaan data atau maklumat yang disampaikan dan pelbagai lagi.

“Jika dilihat, platform media sosial yang sedia ada tidak terikat sepenuhnya dengan undang-undang negara kita, disebabkan itu, kalau kita mampu bina media sosial sendiri mampu untuk membawa manfaat daripada segi ekonomi, masyarakat serta kemajuan teknologi negara,” ujarnya.

Namun Shafizan turut menjelaskan adalah lebih baik jika kerajaan fokus untuk meningkatkan tahap literasi digital masyarakat berbanding membangunkan platform media sosial tempatan.

“Saya rasa kita kena menerima inisiatif cadangan kerajaan untuk membangunkan media sosial sendiri sebagai satu yang baik kerana kita nak cuba mewujudkan satu persekitaran digital hebat yang dapat menjamin data peribadi pengguna dan sebagainya.

“Namun saya rasa adalah lebih baik jika kerajaan fokus meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat.

“Didik rakyat supaya dapat menggunakan media sosial lebih selamat, meningkatkan infrastruktur dan sekuriti siber, undang-undang siber diperketatkan lagi, demi kebaikan ekosistem digital yang lebih selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Shafizan berkata teknologi bergerak pantas dan pemantauan berterusan mengenainya terutamanya soal jenayah siber adalah satu keperluan kepada masyarakat.

“Haruslah kita tekankan kepentingan, bila cakap pasal teknologi ini, perlu ada persekitaran yang mampan, berdaya tahan serta satu strategi jangka masa panjang.

“Kita kena pastikan masyarakat Malaysia bersedia hadapi masa depan digital dengan yakin dan selamat sebab hakikatnya sampai bila-bila pun penggunaan teknologi akan ada risikonya,” katanya.

Terdahulu, Fahmi Fadzil turut menyatakan buat masa ini kerajaan tidak melihat cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia sebagai keutamaan.

Beliau berkata ini berikutan untuk membina satu platform media sosial sendiri menelan kos yang sangat tinggi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas