DALAM usaha memastikan pembentukan jati diri sebagai seorang bakal pemimpin dan negarawan pada masa akan datang, maka semua faktor terkait pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi perhatian khusus termasuk dari segi pakaian seragam.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran, berbanding PLKN terdahulu yang menggunakan seragam biru, pelatih PLKN 3.0 akan mengenakan pakaian celoreng Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Penggunaan pakaian tersebut mampu meningkatkan semangat patriotisme kerana jika kita lihat di negara-negara luar, program berbentuk seperti ini turut menggunakan seragam tentera selain ia menjimatkan kos.
“Ia juga dipersetujui pada peringkat nasional ketika mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya dan menambah pakaian tersebut akan dipulangkan semula oleh pelatih selepas tamat latihan.
Dalam perkembangan lain Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pakaian seragam TDM yang dikenakan pelatih PLKN 3.0 akan dipastikan mencukupi biarpun siri akan datang menyaksikan peningkatan kepada 500 orang.
“Kita akan pastikan pakaian mencukupi, bukan sahaja melibatkan baju semata-mata tetapi keperluan lain bagi Wira Muda akan dapat disempurnakan.
“Baju ini setelah siri 1 selesai, kita dapatkan semula dan akan pastikan ia dalam keadaan baik untuk digunakan Wira Muda seterusnya,” jelas beliau menjawab dakwaan berkenaan kekurangan pakaian seragam dalam inventori Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tahun ini, JLKN melaksanakan PLKN 3.0 SIRI 2/2025 pada 11 Mei hingga 24 Jun manakala siri 3/2025 pada 7 September hingga 21 Oktober. Kedua-dua siri tersebut akan dilaksanakan di Kem Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 AW, Pekan, Pahang. – WILAYAHKU