Berita

Tingkat rasa peduli permasalahan umat Islam di Gaza

Foto: Mahmoud Issa/Reuters
- Diterbit 14 Februari 2025 11:12 AM MYT

SELURUH umat Islam dianjurkan serta digalakkan turut bersama bersolidariti menerusi Program Pembangunan Semula Gaza sebagai satu bentuk penterjemahan semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaraskan secara teratur dan bertanggungjawab di atas sumbangan umat Islam di Malaysia demi menjayakan aspirasi kerajaan menerusi program yang amat mulia ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata demikian dalam teks khutbah solat Jumaat 7 Februari lalu.

Memetik ucapan khutbah itu, JAKIM berkata, mutakhir ini ummah Islam dalam tempoh kedukaan dan kesedihan mengenang nasib umat Islam di bumi Gaza, Palestin yang ditimpa tragedi peperangan panjang sejak 7 Oktober 2023 yang mengorbankan seramai 46,000 nyawa.

“Marilah kita mengucapkan syukur, Alhamdulillah, kerana konflik yang telah mengorbankan ramai nyawa itu serta kemusnahan harta benda yang dahsyat telah tamat menerusi gencatan senjata pada 19 Januari 2025 yang lalu.

“Sesungguhnya kekejaman rejim Zionis terhadap Gaza amat dahsyat, pilu dan menyayat hati,” katanya.

JAKIM dipetik berkata, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari yang lalu, sebanyak 69 peratus (%) struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah.

Dalam aspek pendidikan, sebanyak 88% peratus iaitu 496 daripada 564 buah sekolah dan 51 universiti di Gaza musnah dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar.

JAKIM berkata, bagi sektor kesihatan, badan PBB itu turut melaporkan bahawa sebanyak 50% iaitu 18 daripada 36 buah hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian sahaja manakala 11 hospital lapangan berfungsi, termasuk lapan secara penuh dan 49 sebahagian.

“Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan sebanyak 815 masjid di Gaza musnah sepenuhnya dan 151 rosak sebahagiannya.

“Begitulah antara data terkini kemusnahan yang sedang dialami oleh umat Gaza hari ini dan telah memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Tambah JAKIM, sebagai sebuah keluarga besar ummah Islamiyah, masyarakat mesti mengambil tahu dan meningkatkan rasa peduli terhadap perkembangan dan situasi yang terjadi dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia khususnya permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di Gaza mutakhir ini.

“Inilah tanggungjawab kita sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.’ (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Menurut JAKIM, Malaysia sejak dahulu lagi antara yang konsisten dan terkedepan dalam usaha membela nasib dan perjuangan rakyat Palestin.

Sejajar dengan semangat persaudaraan ummah dan tanggungjawab kemanusiaan sejagat katanya, pihak kerajaan telah mengumumkan hasrat dan komitmen untuk bergandingan dengan Jepun serta negara-negara lain di peringkat antarabangsa dalam inisiatif pembangunan semula Gaza.

“Pada peringkat awal ini, kerajaan berhasrat untuk menyumbang bagi pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza. Menerusi sumbangan ini, ia diharapkan akan dapat membantu mengatasi beban dan krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Program bantuan bagi pembangunan sekolah, hospital dan masjid ini memerlukan penglibatan dan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia termasuk agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas