Berita

Tingkat produktiviti depani cabaran

ANWAR ketika berucap pada MAPPA XIX 2024 di PICC, Putrajaya.
- Diterbit 23 Ogos 2024 12:31 PM MYT

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEpacs) berkata reformasi dalam perkhidmatan awam adalah suatu proses berterusan dalam mengangkat imej dan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata setiap penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan awam perlu mempunyai nilai-nilai yang baik dan mengamalkan budaya intergriti yang tinggi.

“Ini bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada negara dan rakyat boleh dirasai oleh kumpulan sasar seterusnya dapat meningkatkan tahap keyakinan kepada perkhidmatan awam,” katanya.

Menurut Adnan, Cuepacs percaya tidak semua penjawat awam terpalit dengan isu-isu nilai dan intergriti.

Bagaimanapun, beliau berkata Cuepacs mahu seboleh mungkin untuk penjawat awam tidak bertoleransi dengan budaya negatif yang boleh dikaitkan dengan budaya kerja penjawat awam.

“Cuepacs yakin penjawat awam sentiasa berusaha untuk memaksima sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat atau kumpulan sasar.

“Justeru itu, segelintir mereka yang terlibat dengan amalan-amalan negatif wajib dikenakan tindakan yang sewajarnya supaya tidak menjadi barah dalam kalangan penjawat awam dan institusi itu sendiri,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Anwar berkata pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mestilah berdasarkan prestasi yang cemerlang.

Beliau berkata SSPA yang dirangka itu bukanlah semata-mata pembaharuan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam.

Anwar berkata penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas dan sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran.

Sementara itu, Adnan berkata amalan kita jaga kita perlu dilihat dalam konteks yang positif untuk perkhidmatan awam.

Beliau berkata ibarat pendekatan carrot and stick, mereka yang bersalah perlu diambil tindakan dan yang bertanggungjawab dalam tugas perlu diberikan ganjaran yang baik untuk menjadi contoh teladan buat yang lain-lain.

“Melalui pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam yang selama ini Cuepacs perjuangkan.

“Alhamdulillah ia telah membuahkan hasil, walaupun ada pelbagai cakap-cakap di luar sana mengenai pengumuman kerajaan ini. Ia tidak sepatutnya kita dengari dan terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang tidak berasas,” katanya.

“Apa yang penting hari ini penjawat awam perlu berazam dan menyusun tekad untuk berjuang bersama-sama kerajaan bagi menaikkan lantai pendapatan rakyat serta meluaskan siling ekonomi negara. ini agar manfaatnya akan dapat dirasai oleh kita semua,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas