KEMENTERIAN Pengangkutan (MoT) menyambut baik usaha pengendali operator Pelabuhan Labuan, Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd yang komited untuk menjadikan pelabuhan tersebut lebih berdaya saing dan kompetitif.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pihak pengendali operasi itu telah melaburkan peruntukan berjumlah RM25 juta bagi menaik taraf kemudahan dan fasiliti pelabuhan berkenaan.
Katanya, inisiatif tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan operasinya dalam mengendalikan kargo pelabuhan itu sejak mengambil alih pada tahun 2020 selain mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk ekonomi di Labuan.
“Memang pelabuhan ini akan mendapat perhatian serius daripada Kementerian Pengangkutan di mana kita harap ia dapat dijadikan sebuah pelabuhan yang dinamik, sibuk serta dapat menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pulau itu.
Tambah beliau dengan kemampuan pengoperasian selama 24 jam sepanjang tujuh hari mengendalikan kargo, ia meningkatkan lagi kemajuan produktiviti.
“Kita akan mencadangkan tempoh konsesi yang lebih panjang mungkin diperlukan untuk menyokong pelaburan infrastruktur yang besar. Ini kerana operator pelabuhan pada ketika ini beroperasi dengan kontrak pengurusan selama enam tahun.
“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi menambah baik konsesi kontrak tersebut,” katanya. – WILAYAHKU