Berita

Tingkat keselamatan jalan raya melalui geometri

BENGKEL Keselamatan Jalan Raya disertai wakil-wakil badan kerajaan di Hotel InterContinental Kuala Lumpur.
- Diterbit 2 Disember 2023 5:49 AM MYT

KOMITMEN berterusan oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara adalah antara aspek utama yang harus difokuskan bagi meningkatkan standard keselamatan jalan raya khsuusnya di kawasan bandar.

Justeru itu, Bike Commute Malaysia (BCMY) menganjurkan Bengkel Keselamatan Jalan Raya Melalui Reka Bentuk Geometeri bagi mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar terutama dalam bidang geometri jalan raya di samping mewujudkan persekitaran dalam meningkatkan infrastruktur jalan untuk keadaan yang lebih selamat.

Bertempat di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, bengkel itu disertai oleh wakil-wakil dari badan kerajaan yang menyumbang termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengasasnya, Justin Lee berkata pada bengkel tersebut, pihaknya membentangkan strategi inovatif untuk mempromosikan jalan yang lebih selamat serta turut membincangkan dan memberi cadangan mengenai peningkatan keselamatan jalan raya melalui penyelesaian reka bentuk geometri yang inovatif.

“Memandangkan nahas jalan raya terus menjadi punca kematian yang ketara di Malaysia, strategi sedia ada tertumpu kepada meningkatkan keselamatan jalan raya untuk kenderaan. Pada masa yang sama, soal ‘first and last mile connectivitiy’ juga mendapat perhatian di Malaysia terutama tentang kebimbangan keselematan menghalang orang ramai dari berjalan kaki.

“Di samping meningkatkan keselamatan jalan raya untuk kenderaan, langkah-langkah ini juga fokus dalam mewujudkan jalan yang lebih selamat dan mudah untuk pengguna jalan termasuk pejalan kaki, penunggang basikal dan orang kurang upaya (OKU),” jelasnya.

Menurut Justin, semasa bengkel tersebut juga, KKR dan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKR turut memberi pandangan tentang garis panduan teknikal jalan raya dan sesi jalan-jalan di sekitar kawasan MRT dan LRT Ampang Park.

“Ahli-ahli KKR dan JKR juga turut menggabungkan pandangan daripada pengalaman pelaksanaan praktikal DBKL dan intervensi keselamatan jalan raya secara menyeluruh.

“Penerokaan ini merangkumi peralihan lintasan pejalan kaki kepada lintasan yang ditinggikan (raised crosswalks), pengiktirafan keperluan untuk pulau perlindungan (refuge islands), dan penilaian kelebihan lintasan pada tahap tanah berbanding jejambat pejalan kaki dan bergantung kepada jumlah trafik.

“Penekanan khusus ini diberikan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan padat dengan aktiviti pejalan kaki yang ketara, seperti zon komersial dan pejabat,” katanya yang berharap kerjasama berterusan bersama pelbagai pihak dapat diteruskan untuk mewujudkan jalan raya yang lebih selamat untuk pengguna. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas