SAMBUTAN Hari Perikanan Sedunia (HPS) 2024 mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan industri perikanan dan ekosistem marin.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata penganjuran sambutan itu juga bertujuan menghargai usaha nelayan, penternak, penyelidik serta semua yang terlibat dalam sektor perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
“DOF amat berbangga dengan kejayaan sambutan ini dan ia merupakan langkah pertama dalam menggalakkan kesedaran tentang pentingnya sumber perikanan yang lestari. Sokongan daripada usahawan perikanan juga amat memberangsangkan.
“Sambutan ini turut menjadi platform untuk usahawan mempromosikan produk perikanan mereka sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata acara julung kali diadakan baru-baru ini berjaya menarik lebih 13,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian program.
“Pelbagai aktiviti kesedaran awam dan pameran agensi kerajaan yang diadakan, membawa mesej penting tentang pemeliharaan ekosistem marin kepada semua pengunjung termasuk pameran produk perikanan dan demonstrasi masakan.
“Acara ini juga telah memperlihatkan kerjasama yang erat antara usahawan, penggiat industri dan pengunjung dalam usaha mempromosikan perikanan yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Tambahnya sepanjang tempoh dua hari penganjuran, pengunjung juga berpeluang mendapatkan penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung kerajaan.
“Sebanyak 13 kaunter perkhidmatan jabatan serta agensi telah mengambil bahagian pada HPS kali ini.
“Penglibatan 20 reruai usahawan produk perikanan, enam reruai usahawan jualan Agro MADANI dan food truck dalam sambutan ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan perikanan. Sebanyak RM72,240 jualan berjaya direkodkan sehingga hari kedua program,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata DOF mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini termasuk pengunjung, peniaga dan orang awam yang menyokong penganjuran HPS.
“Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini sila layari portal rasmi dan platform media sosial Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU